Rabu, 15 Julai 2015 | 2:28pm

Indeks Harga Pengguna naik 2.5 peratus pada Jun

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.5 peratus kepada 113.0 pada Jun 2015 berbanding 110.2 yang dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lalu.

Peningkatan itu didorong peningkatan bagi kumpulan minuman alkohol & tembakau, pelbagai barangan dan perkhidmatan, restoran dan hotel, makanan dan minuman bukan alkohol, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, pendidikan serta komunikasi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua lapan kumpulan barangan dan perkhidmatan itu menyumbang 83.0 peratus kepada peningkatan IHP bagi bulan berkenaan.

Selain itu, nilai indeks keseluruhan berkenaan turut dipengaruhi oleh penurunan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 1.4 peratus, peningkatan kecil kumpulan pakaian dan kasut (+0.7 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+1.7 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.6 peratus berbanding Mei 2015.

Dalam kumpulan utama yang mencatat peningkatan pada Jun 2015 adalah pengangkutan, (+3.0 peratus) hiasa, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+0.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+0.4 peratus), kesihatan(+0.4 peratus), pendidikan (+0.2 peratus), restoran dan hotel (+0.2 peratus) serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (+0.2 peratus).

Sementara itu, bagi tempoh enam bulan pertama 2015, IHP mencatat peningkatan 1.4 peratus yang didorong kenaikan kumpulan utama berwajaran tinggi iaitu makanan dan minuman bukan alkohol (+3.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.3 peratus).

Peningkatan lain dicatatkan bagi minuman alkohol dan tembakau (+11.3 peratus), kesihatan (+4.2 peratus), restoran dan hotel (+3.8 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (+2.9 peratus).

-- BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X