Rabu, 15 Julai 2015 | 2:38pm

Yana Samsudin teruja kali pertama beraya sebagai isteri

YANA dan suami, Fadzil Zahari. - Foto Maya Sarina Mahat

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Yana Samsudin, 31, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya kali pertama menyambut Aidilfitri sebagai seorang isteri.

Bagaimanapun, kali ini ia agak berbeza bagi pemilik nama sebenar Norliana Samsudin, kerana dia bakal menyambut Aidilfitri di kampung halaman suaminya, Fadzil Zahari di Kedah. Untuk itu, dia mengakui agak sedih tidak dapat beraya dengan keluarga kandung pada Hari Raya pertama.

"Saya sememangnya rapat dengan keluarga. Jadi, apabila tidak dapat merayakan 1 Syawal bersama keluarga membuatkan saya sedih. Namun, saya akur permintaan suami untuk beraya di kampung halamannya dulu.

"Ini kerana sebelum kahwin dia (Fadzil) sudah awal-awal minta untuk pulang beraya ke Kedah terlebih dulu kerana adiknya bakal berkahwin pada bulan Syawal ini. Jadi, tak apalah, kami pulang ke Kedah dan membantu serba sedikit persiapan perkahwinan adiknya.

"Hanya pada raya keempat atau kelima, baru kami bergerak ke kampung halaman saya di Yong Peng. Adatlah suami isteri mengambil giliran untuk pulang beraya," kata Yana sambil menambah persiapan raya kali ini sama seperti tahun lalu.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon, penyanyi dan pengacara, namun perniagaan biskut raya miliknya, Yana Supercookies tetap berjalan seperti biasa.

"Alhamdulillah walaupun banyak barang yang naik harga ketika ini, perniagaan biskut raya saya masih mendapat sambutan hangat. Namun ada sesetengah biskut raya tidak dapat dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kebanyakan pembeli juga gemar mendapatkan biskut raya pada saat-saat akhir, tambah Yana.

Berita Harian X