Khamis, 16 Julai 2015 | 2:40pm

Taufan Nangka melanda Jepun, 120 penerbangan domestik dibatalkan

TOKYO: Taufan Nangka melanda tanah besar Jepun hari ini, menyebabkan hujan lebat, kejadian tanah runtuh dan pembatalan penerbangan serta perjalanan kereta api.

Taufan dengan kelajuan sehingga 198 kilometer (123 batu) sejam melanda di 220 kilometer selatan Shikoku, satu daripada pulau utama di negara ini, tengah hari tadi.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, ribut itu bergerak ke utara barat laut pada kelajuan 20 kilometer sejam, melanda Shikoku pada sebelah malam dan seterusnya ke pulau utama Honshu.

Hujan lebat diramal melanda Shikoku petang ini dan disusuli angin kencang. Amaran mengenai kejadian banjir, angin ribut, tanah runtuh dan ombak besar di selatan Jepun, juga sudah dikeluarkan..

Nangka, yang mengambil nama buah tempatan Malaysia, menyebabkan syarikat penerbangan Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan lebih 120 penerbangan domestik.

Pengendali kereta api di rantau ini juga sudah membatalkan beberapa perkhidmatan, terutama pada lewat petang, ekoran taufan yang diramal semakin hampir. - AFP

Berita Harian X