Khamis, 16 Julai 2015 | 6:45pm

Pusaka keluarga Noormiah jadi tarikan utama Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Bagi Noormiah Mohd Jamil, setiap kali menjelang Aidilfitri, beliau bukan sahaja sibuk menyediakan pelbagai hidangan tradisional, tetapi juga perlu mengemas rumah pusaka peninggalan ibu bapanya di Chemor, Perak.

Menurut bekas penjawat awam ini, beliau perlu berbuat demikian kerana rumah itu juga menjadi muzium mini keluarga, yang mempamerkan barangan pusaka peninggalan ibu bapanya, termasuk koleksi tekad, barangan buatan negeri China dan barangan antik lain.

"Selalunya, sanak saudara dan sahabat handai yang mengunjungi beliau semasa sambutan Aidilfitri, pasti tidak melepaskan peluang melihat dari dekat koleksi barangan lama di muzium itu," katanya.

Noormadiah berkata, koleksi tekad berupa set lengkap penghias bilik pengantin perempuan yang dipamerkan di muzium itu adalah koleksi Allahyarham ibunya, Solha Mohd Tahir, yang digunakan dalam majlis perkahwinannya dengan Mohd Jamil Noor pada 1920-an dan digunakan sekali lagi pada majlis perkahwinan anak tunggal Noormiah, Nizam Reza pada 2007.

Koleksi tekad itu terdiri daripada hiasan pintu dan katil, hinggalah kepada sarung bantal dan tikar langkat, iaitu tikar empat segi tiga lapis daripada baldu dijahit dengan benang emas serta dihiasi manik dan dihiasi 'daun budi' yang diperbuat daripada perak.

Pengusaha tekad terkenal, Azizah Adam, berkata sesetengah koleksi tekad milik Noormiah, yang lebih mesra dengan panggilan Nadimah dalam kalangan anggota keluarganya, kini amat jarang ditemui, terutama yang mempunyai manik dijahit dengan benang daun nanas.

Katanya, kaedah menghasilkan benang daripada daun nanas adalah antara kemahiran orang dulu-dulu yang terpelihara hingga kini.

"Benang yang dibuat daripada daun nanas lebih tahan daripada benang yang diperbuat daripada kapas. Sebab itulah koleksi tekad kepunyaan Noormiah tidak terjejas dimamah usia," katanya.

Kata Noormiah, oleh kerana terdapat terlalu banyak koleksi tekad dalam simpanannya, ada sesetengahnya yang beliau sendiri tidak tahu tujuannya dihasilkan.

Justeru, beliau berharap ada pakar atau pihak yang dapat membantunya untuk memulihara koleksi berkenaan dan memberi maklumat tujuan ia dihasilkan.

Kata Noormiah, koleksi tekadnya hanya dipamerkan pada musim sambutan Hari Raya atau upacara khas seperti majlis mencukur jambul cucunya dan selepas itu disimpan semula bagi memastikan ia terus berkeadaan baik.

Selain koleksi tekad, barangan lain yang menarik minat pengunjung ke muzium itu ialah barangan kraf China keluaran J&G Meaking England, yang sesetengahnya dihasilkan pada 1851, di samping barangan lama buatan Belanda dan Jerman.

Noormiah berkata, semua barangan itu adalah peninggalan ibu dan bapanya.

"Bapa saya pernah jadi ketua kampung, manakala emak pula suka mengumpul pinggan. Barangan yang mereka gunakan dahulu dihasilkan sebelum Perang Dunia Kedua dan semuanya berasal dari Eropah," katanya.

Minatnya yang mendalam terhadap barangan antik mendorong wanita itu mencari idea untuk memuliharanya, termasuk baju kebaya dan baju kurung serta pelbagai jenis songket dan kain tenunan lama seperti limar.

Malah, acuan kuih bangkit daripada tembaga yang digunakan keluarganya juga diperagakan pada dinding muzuim mini itu.

Noormiah, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-70, baru-baru ini, hanya pulang ke Chemor sekali sebulan dari Kuala Lumpur untuk meninjau pusaka peninggalan ibu bapanya itu.

Kata beliau, memandangkan rumah berkenaan dibina pada 1890-an, keadaannya agak uzur dan perlu diperbaiki, tetapi ia memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat membantunya menjadikan rumah pusaka itu sebuah muzium hidup untuk manfaat orang ramai, khususnya generasi muda, di samping memulihara koleksi yang menjadi pusaka turun-temurun keluarganya. - BERNAMA

Berita Harian X