Jumaat, 17 Julai 2015 | 5:36pm

Empat lelaki bersenjata rompak kedai emas di Kelana Jaya

ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi rompakan.

KUALA LUMPUR: Sebuah kedai emas di Kelana Jaya kerugian hampir RM400,000 selepas disamun empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kejadian dikatakan berlaku ketika dua pekerja yang berada di premis berkenaan didatangi empat lelaki memakai topi keledar dan berbaju lengan panjang.

Seorang pekerja premis berkenaan yang enggan dikenali, berkata empat lelaki itu tiba-tiba masuk ke dalam kedai dan terus memecahkan cermin pameran emas di premis berkenaan.

"Empat lelaki yang bersenjatakan penukul besi dan sepucuk pistol bertindak memecahkan kaca tempat pameran barang kemas.

"Sebaik berjaya mengambil barangan kemas itu, mereka terus melarikan diri,"katanya.

Difahamkan, sebuah lagi cawangan kedai emas sama di Econsave, Cheras, pernah cuba dirompak kira-kira dua bulan lalu, namun gagal selepas penggera keselamatan berbunyi.

Beliau berkata, dia dan kakitangan lain tidak mampu melakukan apa-apa disebabkan takut dicederakan empat suspek terbabit yang turut membawa sepucuk pistol.

Berita Harian X