Sabtu, 18 Julai 2015 | 10:26am
MENGGUNAKAN kereta api dapat menikmati pemandangan indah menyusuri kawasan pedalaman. - Foto Amir Irsyad Omar
MENGGUNAKAN kereta api dapat menikmati pemandangan indah menyusuri kawasan pedalaman. - Foto Amir Irsyad Omar

Pulang beraya menaiki kereta api imbas nostalgia

PERKHIDMATAN kereta api menjadi pilihan pengguna kerana lebih selesa dan selamat. - Foto BERNAMA
PERKHIDMATAN kereta api menjadi pilihan pengguna kerana lebih selesa dan selamat. - Foto BERNAMA

KERETA, bas dan kapal terbang sering menjadi pengangkutan utama warga kota pulang ke kampung halaman menyambut hari lebaran.

Namun, kereta api juga menjadi satu pengangkutan wajib bagi sesetengah daripada mereka kerana dikatakan dapat mengembalikan nostalgia hari raya untuk menemui orang tersayang.

"Lebih seronok balik kampung naik kereta api berbanding pengangkutan lain," kata Ismayazi Ismail, 39, yang akan pulang ke Padang Besar, Perlis menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Katanya, minat menaiki kereta api bermula sejak kecil apabila keluarganya gemar menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk ke mana-mana destinasi.

"Saya masih ingat betapa gembira dan riangnya hati dapat berlari ke hulu ke hilir dalam gerabak kereta api sementara menunggu sampai destinasi. Sampai dah besar ini pun, saya gemar meronda dari hujung ke hujung dan takkan tidur kerana menghargai setiap saat berada dalam kereta api," katanya.

Anggota tentera di Kem Sungai Besi ini berkata, walaupun terpaksa melalui perjalanan yang panjang, ia satu pengalaman yang menarik kerana 'dihidangkan' dengan pemandangan indah dan luas menyusuri celah-celah hutan, bukit bukau, sawah padi dan sungai yang pastinya mengujakan setiap kali pulang ke desa terutama untuk menyambut hari raya.

ORANG ramai membeli tiket kereta api di stesen KL Sentral. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ORANG ramai membeli tiket kereta api di stesen KL Sentral. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ismayazi yang telah 22 tahun menetap di Kuala Lumpur, akan pulang beraya ke kampung bersama isteri dan anak-anak selama dua minggu.

Beliau ditemui ketika beratur di pintu B, Stesen KL Sentral beberapa hari lepas untuk mendapatkan tiket kereta api percuma yang disumbangkan Tropicana Twister.

Menerusi kempen tahunan 'Eratkan Jalinan' yang bermatlamat menghimpun rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyambut hari raya, sejumlah 1,020 tiket kereta api percuma diagihkan untuk perjalanan ke Ipoh, Johor Baharu (JB) Sentral dan Padang Besar.

Pengurus Pemasaran Kumpulan Permanis Sandilands Sdn Bhd, T Santharuban, berkata untuk mengimbas kembali kenangan pulang ke kampung halaman, Tropicana akan turut mengadakan aktiviti menarik di dalam kereta api seperti sesi busking, permainan mini dan karaoke.

Sementara itu, Presiden KTMB Sarbini Tijan, berkata perjalanan menaiki kereta api sering menjadi pilihan kerana ia pengangkutan darat yang lebih selamat, cepat dan selesa untuk digunakan terutama pada musim perayaan.

"Dengan menggunakan perkhidmatan kereta api, ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan," katanya.

Beliau berkata, memahami keperluan dan kehendak pelanggannya, KTMB juga menyediakan kemudahan tandas, kantin dan bilik solat, selain katil di koc untuk keselesaaan pengguna.

BERNAMA

Berita Harian X