Sabtu, 20 September 2014 | 9:13am

Kotakan ikrar pembangunan terangkum

Tiap kali orang kata Melayu malas, maka banyaklah orang Melayu yang marah, termasuklah Melayu yang malas berfikir dan bertindak. Itulah yang jadi bila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi kata dia kecewa dengan sifat dan sikap orang Melayu, termasuklah sifat malas.

Kunta Kinte pun dah banyak kali ulas hal ini dalam ruangan ini dan di tempat-tempat lain. Tapi macam kata nenek moyang kita, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Umpama tuang air ke atas daun keladi.

Dulu bila penjajah Inggeris dan penulis-penulis bukan Melayu macam Abdullah Abdul Kadir Munsyi kata orang Melayu malas, kita yang baca marah. Macam-macam jawapan dan alasan kita bagi.

Tapi sejak merdeka, Melayu sendiri kata Melayu malas. Bukan semua Melayu malas tapi cukup banyak yang jatuh dalam kelompok malas. Lagi lama kita merdeka dan lagi maju negara kita, lagi jelas nampak sifat malas sesetengah orang Melayu.

Tapi Kunta Kinte kena sebut juga. Dalam 1Malaysia kita ini, lagi-lagilah sejak dua tiga dekad ini, bukan saja Melayu malas dan buat kerja rosakkan diri, orang Cina, India dan bangsa-bangsa lain pun sama. Cuma kerana Melayu majoriti, maka yang nampak malas adalah Melayu.

Zaman sebelum merdeka atau beberapa tahun lepas merdeka sifat malas tak nampak sangat sebab masa itu, kalau malas boleh mati kebuluran. Jadi malas macam mana pun kena juga usaha cari makan.

Sekarang ceritanya ada lulusan universiti yang malas, tak ada motivasi dan mudah kecewa bila gagal dapat kerja duduk di rumah tumpang rezeki ibu bapa adik kakak yang tak pun berpelajaran tinggi macam mereka. Hina sungguh manusia jenis ini.

Masalahnya bila ada orang kata Melayu malas, apatah lagi orang itu Dr Mahathir, maka tambah susahlah nak pertahankan Melayu dan nak lawan pihak-pihak yang anak tirikan orang Melayu. Inilah bahana seekor kerbau bawa lumpur habis sekandang terpalit.

Kurang aspirasi, cita-cita

Rasa-rasa Kunta Kintelah bukan semua orang Melayu yang dikatakan malas itu sebenarnya malas. Lebih tepat kalau Kunta Kinte kata mereka kurang aspirasi dan kurang cita-cita.

Kita tengok zaman sebelum merdeka dan beberapa tahun lepas merdeka. Banyak budak-budak Melayu kampung boleh kuasai bahasa Inggeris, boleh belajar sains dan matematik apabila ada galakan dan paksaan. Orang Melayu lebih patuh kepada paksaan daripada pujukan.

Kerana malas dan kurang cita-cita, Melayu tertinggal jauh dalam bidang ekonomi. Kunta Kinte dah ulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, mengenai pendapatan purata isi rumah yang pada pandangan Kunta Kinte tak cerminkan keadaan sebenar.

Minggu ini Kunta Kinte nak kemukakan pula fakta berkenaan gaji dan upah hasil kajian gaji dan upah Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2013.

Kajian itu guna angka median (nilai berangka yang pisahkan antara separuh teratas dengan separuh terkebawah). Hasil utama kajian itu ialah gaji/upah bulanan individu Malaysia hanyalah RM1,700.

Oleh sebab majoriti rakyat jelata sara hidup dengan bekerja makan gaji atau cari upah, maka pendapatan bulanan sebanyak RM1,700 menunjukkan masih ramai penduduk negara kita berpendapatan rendah.

Ikut bangsa, gaji/upah Melayu dan Bumiputera lain RM1,600, Cina RM2,000 dan India RM1,500. Sejak 2010, kadar gaji/upah naik 13 peratus. Gaji/upah pekerja India naik 15 peratus, Cina 14 peratus dan Melayu/Bumiputera 11 peratus. Kalau kita tolak kadar inflasi, boleh kata tak ada peningkatan, khususnya bagi Melayu/Bumiputera.

Kalau ikut tempat pula, gaji/upah median bandar RM1,680, manakala luar bandar RM1,040. Ikut negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur paling tinggi, sebanyak RM2,100 dan paling rendah Sabah sebanyak RM910. Negeri yang ramai Melayu macam Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu semua bawah RM1,200.

Minta ampun sekali lagi kalau Kunta Kinte kata, sekiranya kita tak mahu akui atau sengaja sembunyi perangkaan rasmi yang tak menyenangkan, sampai bila pun kita tak akan berjaya buat transformasi tulen dan sejati.

Perbincangan mengenai dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan tak akan bawa hasil kalau tak diasaskan kepada realiti. Sampai bila kita nak berfantasi dan tunjuk yang elok-elok saja?

Dasar biar berlandaskan fakta

Kunta Kinte dah tua dan kenal pembuat dan pelaksana dasar dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra lagi. Dasar dan rancangan wajib berlandaskan fakta, data dan analisis saintifik serta bebas daripada prasangka.

Inilah yang dalam bahasa Inggeris disebut inconvenient truth atau hakikat yang tidak menyenangkan. Lambat laun kita terpaksa juga hadapi realiti.

Jadi minta ampun banyak-banyaklah kalau Kunta Kinte terpaksa tanya Menteri-Menteri pakar yang bukan orang politik macam Abdul Wahid, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Paul Low Seng Kwan apa dah jadi atau akan jadi dengan high income economy (ekonomi berpendapatan tinggi) dan pembangunan terangkum yang selalu diuar-uarkan itu kalau inilah realiti semasa?

Dalam bahasa yang mudah, tugas mereka adalah mempertahankan kerajaan dengan memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat bukan dengan menyembunyikan realiti semata-mata kerana realiti menjejaskan populariti.

Mereka sepatutnya bantu tingkatkan kualiti kerajaan dengan nasihat yang telus dan terperinci. Apabila kerajaan berkualiti, tentu popularitinya secara automatik naik. Wallahuaklam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X