Ahad, 19 Julai 2015 | 7:19pm

F1 selamat, namun tetap bahaya - Ecclestone

Bernie Ecclestone
Bernie Ecclestone

LONDON: Formula Satu (F1) kekal selamat seperti kebiasaannya namun bahaya sentiasa sebahagian daripada sukan permotoran terbabit, kata supremo F1, Bernie Ecclestone sehari selepas kematian pemandu Perancis, Jules Bianchi.

"Jika kamu memilih untuk berdepan kemalangan pada hari ini berbanding perkara lain, kamu perlu memilih (jentera) Formula Satu kerana ia berkemungkinan perkara yang paling selamat" kata Ecclestone.

"Apa yang berlaku kepada Jules adalah amat, amat, amat tidak bernasib baik.

"Sudah tentu ia merbahaya. Mereka mengharungi 20 perlumbaan setahun, jadi kamu melihat berapa banyak kemalangan di sana. Kami melakukan yang terbaik, atau sentiasa melakukan yang terbaik untuk keselamatan pelumba," katanya.

JULES Bianchi menghembuskan nafas yang terakhir di Nice yang terletak di Selatan Perancis, semalam selepas sembilan bulan koma susulan kemalangan ngeri ketika Grand Prix Jepun, Oktober tahun lalu. - Foto AP
JULES Bianchi menghembuskan nafas yang terakhir di Nice yang terletak di Selatan Perancis, semalam selepas sembilan bulan koma susulan kemalangan ngeri ketika Grand Prix Jepun, Oktober tahun lalu. - Foto AP

Bianchi, 25, menghembuskan nafas yang terakhir di Nice yang terletak di Selatan Perancis, semalam selepas sembilan bulan koma susulan kemalangan ngeri ketika Grand Prix Jepun, Oktober tahun lalu.

Bianchi muncul pelumba pertama dari F1 yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika perlumbaan di Litar Suzuka sejak kematian juara dunia tiga kali, Ayrton Senna di Imola pada 1994.

Jentera pemandu pasukan Marussia itu tergelincir daripada litar ketika keadaan basah sebelum melanggar trak pengangkut dalam kelajuan tinggi sekalipun bendera kuning bagi memberi amaran kepada pemandu untuk memperlahankan jentera sudah pun dikibarkan.

"Traktor itu tidak sepatutnya berada di sana," kata Ecclestone.

"Kami melakukan banyak perkara yang baik untuk memastikan jika jentera tidak dapat dikawal dan melanggar sesuatu, mereka akan melanggar penghadang tayar atau apapun, kemudian ia tidak apa.

"Melanggar benda itu (traktor) tidak memberi sebarang perbezaan jika kamu melanggar kereta penumpang... jika kamu melanggarnya dengan kereta kebal, kamu berdepan masalah." - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X