Isnin, 20 Julai 2015 | 3:00pm

Aliran trafik di lebuh raya utama semakin perlahan

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama semakin meningkat setakat jam 2 petang ini berikutan ramai warga kota mula pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Aidilfitri.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Hotline melaporkan, aliran trafik dari arah utara bergerak perlahan dari Permatang Pauh ke Prai, Juru ke Bukit Tambun, Hentian Bukit Gantang ke Bukit Berapit, Terowong Menora ke Ipoh, dan Simpang Pulai ke Gopeng.

"Kami menjangkakan aliran trafik akan bertambah sesak petang ini dari Gopeng ke Tapah dan Bidor ke Sungkai," katanya.

Aliran trafik bagi arah selatan juga bergerak perlahan khasnya dari Sedenak ke Simpang Renggam.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, pertambahan kenderaan menyebabkan aliran trafik perlahan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Trafik juga dijangka sesak selepas Plaza Tol Gombak pada petang ini berikutan pertambahan bilangan warga kota yang pulang dari pantai timur," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X