Isnin, 20 Julai 2015 | 7:29pm
BEKAS pemandu Formula Satu (F1) Perancis, Jules Bianchi yang meninggal dunia pada Jumaat akibat insiden ngeri di Grand Prix Jepun. - Foto EPA

F1: Ferrari punya rancangan besar untuk Bianchi

LONDON: Bekas pemandu Formula Satu (F1) Perancis, Jules Bianchi yang meninggal dunia pada Jumaat akibat insiden ngeri di Grand Prix Jepun, tahun lalu dikaitkan dengan Ferrari bagi menggantikan Kimi Raikkonen.

Perkara itu didedahkan bekas Pengerusi pasukan itu, Luca di Montezemolo.

Bianchi, 25 meninggal dunia di hospital di Nice, Perancis selepas sembilan bulan bertarung nyawa dan koma akibat kemalangan itu adalah produk daripada akademi Ferrari dan mengekalkan hubungan baik dengan Maranello.

"Jules adalah salah seorang daripada kami," kata Montezemolo kepada Sky Sports Itali. "Dia adalah sebahagian daripada keluarga Ferrari dan pelumba yang dipilih untuk masa depan, selepas kerjasama dengan Raikkonen berakhir."

Raikkonen yang memenangi gelaran dunia pada 2007 kembali bersama Ferrari bagi musim 2014 dengan kontrak selama dua tahun yang berakhir tahun ini.

Bekas Prinsipal Ferrari, Stefano Domenicali turut mengesahkan kepada Sky yang pasukannya memiliki perancangan besar bersama Bianchi yang menyertai akademi pasukan itu pada 2009 selain menjadi pemandu ujian.

"Jules sentiasa berada di Maranello," kata Domenicali. "Setiap hari dia datang ke kilang untuk meningkatkan dan memacu impiannya untuk berlumba bersama Ferrari.

"Idea kami ialah, selepas Marussia, dia sepatutnya pergi ke pasukan lain untuk terus berkembang dan bersedia untuk mengambil langkah yang besar. Ia adalah rancangan yang kami lakukan beberapa tahun lalu.

"Namun nampaknya takdir mengambilnya daripada kami," katanya.

Bianchi membuat penampilan sulung dalam F1 bersama Marussia yang menggunakan enjin Ferrari pada 2013 dan mengutip mata pertama pasukan itu di GP Monaco tahun lalu apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X