Rabu, 22 Julai 2015 | 12:06am
APABILA sudah berkumpul, bukan saja masing-masing akan bertukar-tukar cerita, malah Maya juga memasak untuk mereka. - Foto Instagram
APABILA sudah berkumpul, bukan saja masing-masing akan bertukar-tukar cerita, malah Maya juga memasak untuk mereka. - Foto Instagram
MAYA beraya bersama adik-beradik dan saudara-mara di London. - Foto Instagram
MAYA beraya bersama adik-beradik dan saudara-mara di London. - Foto Instagram
MAYA bersama ibunya menziarahi kubur datuk dan neneknya. - Foto Instagram
MAYA bersama ibunya menziarahi kubur datuk dan neneknya. - Foto Instagram

Maya Karin beraya dengan 2 adik di London


AIDILFITRI tahun ini memberikan kegembiraan berganda buat aktres Maya Karin. Jika sebelum ini, hari lebaran disambut dengan ibu dan saudara-mara, kali ini, kemeriahannya diraikan dengan adik-beradiknya, selepas 15 tahun tidak dapat bersama.

Pelakon Sejoli ini menjelaskan amat teruja meraikan lebaran bersama adik-beradiknya di kota besar itu kerana itulah saat paling ditunggu-tunggu selama ini.

"Pada malam Hari Raya, saya terbang ke London untuk meraikan Aidilfitri bersama adik-beradik di sana. Kebetulan, adik lelaki saya mahu ke London pada waktu itu dan adik perempuan pula memang menetap di sana. Jadi, saya pun beli tiket untuk beraya bersama mereka.

"Memang seronok dapat berkumpul dengan mereka. Kali terakhir kami dapat bersama-sama adalah sekitar 15 tahun lalu. Kalau jumpa pun sebelum ini, bukannya semua dapat bersama.

MAYA teruja untuk meraikan lebaran dengan adik-beradiknya selepas 15 tahun tidak dapat meraikannya bersama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MAYA teruja untuk meraikan lebaran dengan adik-beradiknya selepas 15 tahun tidak dapat meraikannya bersama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

MAYA terbang ke London pada malam Hari Raya untuk meraikan lebaran bersama adik-beradiknya di sana. - Foto Instagram
MAYA terbang ke London pada malam Hari Raya untuk meraikan lebaran bersama adik-beradiknya di sana. - Foto Instagram

"Memandangkan saya juga bercuti panjang, jadi pada malam raya pertama saya terbang ke sana. Emak saya tidak kisah dan dia sangat memahami. Dia beraya bersama-sama saudara-mara yang lain," cerita Maya.

Apabila sudah berkumpul, bukan saja masing-masing akan bertukar-tukar cerita, malah Maya juga memasak untuk mereka.

"Saya memang suka memasak dan menjamu rakan. Pada sambutan kali ini, saya masak untuk adik-adik saya, tetapi bukanlah juadah biasa dihidangkan pada Hari Raya. Saya juga bawa rendang dari Kuala Lumpur untuk mereka," cerita pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke ini.

Bercakap mengenai soal kepulangan dan pertemuan pada musim perayaan, aktres berusia 35 tahun ini berkata, lagu nyanyiannya, Pulang, menyemarakkan lagi suasana sambutan Aidilfitri.

"Lagu itu menggalakkan kita untuk pulang ke kampung dan meraikan lebaran bersama keluarga serta insan tersayang. Apa yang menarik mengenai lagu ini ialah klip videonya. Buat julung kali, klip video ini memaparkan seluruh anggota keluarga saya.

MAYA baru saja pulang ke tanah air selepas beberapa bulan menjelajah Eropah. Baginya, penerokaan itu adalah terapi buatnya. - Foto Munira Abdul Ghani
MAYA baru saja pulang ke tanah air selepas beberapa bulan menjelajah Eropah. Baginya, penerokaan itu adalah terapi buatnya. - Foto Munira Abdul Ghani

"Ketika perbincangan awal, pihak syarikat rakaman mahu mengambil pelakon tambahan untuk membintangi video Pulang. Memikirkan sesuatu yang lebih menarik, saya mencadangkan kepada mereka supaya menampilkan anggota keluarga saya saja.

"Selain menggunakan rumah ibu saya untuk sesi rakaman, saya juga menempah katering supaya suasana Hari Raya nampak hidup," katanya.

Jika mempunyai masa terluang dan tidak terikat dengan jadual penggambaran, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam ini lebih suka mengelilingi dunia.

Baru saja pulang ke tanah air selepas beberapa bulan menjelajah Eropah, Maya mengakui aktiviti itu adalah terapi buatnya.

MAYA bawa rendang dari Kuala Lumpur untuk juadah dihidangkan pada Hari Raya. - Foto Zunnur Al Shafiq
MAYA bawa rendang dari Kuala Lumpur untuk juadah dihidangkan pada Hari Raya. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya memang suka mengembara, melihat dunia sekeliling. Kalau di Malaysia saya alami cuaca panas dan hujan, tetapi apabila di luar negara, saya lalui pula pengalaman empat musim. Itu semua pengalaman menarik. Namun, walaupun bercuti saya tidak goyang kaki.

"Saya ambil kesempatan itu untuk membuat perniagaan hartanah dan Alhamdulillah, semuanya mendatangkan hasil yang lumayan.

"Kalau saya tidak berlakon pun selepas ini, saya masih boleh meneruskan kehidupan. Bagaimanapun, sementara orang masih suka dengan lakonan saya, saya takkan berhenti daripada beraksi di depan kamera," katanya yang bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Nota pada Ogos depan.

Sementara itu, dari segi kerjaya nyanyian, Maya berkata, dia akan memberi fokus untuk mempromosikan single keduanya berjudul Tersenyum, yang dipetik daripada album Teka-Teki.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X