Khamis, 23 Julai 2015 | 5:53pm

MAI kekalkan sasaran TIV 700,000 unit kenderaan tahun ini

KUALA LUMPUR: Institut Automotif Malaysia (MAI) mengekalkan sasaran jumlah jualan industri (TIV) 2015 sebanyak 700,000 unit.

Sasaran itu dibuat dengan unjuran jualan akan pulih menjelang akhir tahun walaupun industri berkenaan mencatat jualan 325,000 unit setakat akhir Jun.

"Kami belum lagi menurunkan sasaran 700,000 unit pada 2015," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohamad Madani Sahari apabila ditanya mengenai prestasi TIV untuk pertengahan tahun.

Katanya, TIV pertengahan tahun rendah sedikit daripada jangkaan kerana jualan terjejas pada April dan Mei walaupun harga kereta diturunkan lagi selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau juga berkata, jualan pada Jun meningkat kepada sekitar 55,000 unit sebahagiannya disebabkan kempen promosi untuk Hari Raya serta promosi hebat daripada pelbagai jenama.

"Kami berpendapat yang pasaran sedang melaras kepada keadaan ekonomi semasa dan jualan akan meningkat menjelang akhir 2015," kata Madani.

Pada Mac lalu, MAI mengunjurkan TIV akan melepasi sasaran 700,000 unit, lonjakan lima peratus berbanding pada 2014.

TIV Malaysia mencatat jumlah tertinggi pada 2014 dengan 666,465 kereta dijual, meningkat 1.6 peratus berbanding 655,793 unit pada 2013.

Persatuan itu sebelum ini menjangka TIV lebih tinggi tahun ini sejajar dengan pelaksanaan GST pada 1 April, dengan menyatakan sistem percukaian baharu itu akan merangsang permintaan untuk kenderaan dengan pengurangan harga melalui penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2015 pada 680,000 unit.

MAA belum mengeluarkan TIV untuk pertengahan tahun dan dijangka mengumumkannya pada 28 Julai ini. - BERNAMA

Berita Harian X