Sabtu, 20 September 2014 | 9:46pm
PEMAIN futsal negara, Mohd Asmie Amir Zahari (kanan) dihalang pemain dari Brunei Darussalam, Maziri Maidn pada perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Futsal AFF 2014 di Stadium Malawati di sini, hari ini. Pasukan negara menang dengan jaringan 6-1. - Foto BERNAMA

Futsal AFF: Malaysia bangkit benam Brunei 6-1

SHAH ALAM: Malaysia membenam Brunei 6-1 pada perlawanan kedua, Kumpulan A Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Skuad kendalian Maizal Hairi Marzuki bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk mendahului 2-0 pada separuh masa menerusi jaringan Saiful Aula Ahmad pada minit ke-19 dan seminit kemudian oleh Muhammad Yatim.

Bersambung babak kedua pasukan negara lebih bertenaga dengan jaringan gol ketiga oleh Saiful Nizam Mohd Ali (m22) kemudian Saiful Aula menjaringkan gol keempat (m27).

Muhammad Fariq Mohammad menjaringkan gol kelima (m31) dan Brunei meraih gol tunggal menerusi Mohamad Sharifuddin Marji (m33) namun perlawanan terpaksa dihentikan selama 10 minit berikutan kebocoran bumbung stadium.

Muhammad Fariq Mohammad mengesahkan kemenangan negara pada minit minit ke-39.

Pada perlawanan pembukaan semalam, Malaysia menerima tamparan awal selepas tewas kepada Indonesia 1-6.

Maizal ketika ditemui pemberita berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama pasukan namun skuad negara perlu memperbaiki kelemahan dari aspek serangan.

"Kita membuat analisis pada separuh masa pertama tadi, pasukan mempunyai 18 peluang untuk menjaringkan gol namun hanya dua sahaja jaringan yang dibuat. Skuad akan berehat sehari sebelum bertemu Australia Isnin ini, jadi kita akan memperkemaskan teknik jaringan gol.

"Saya juga akan menilai beberapa pemain lain kerana ada yang cedera dan mungkin ada perubahan dari segi strategi pada perlawanan menentang Australia nanti," katanya.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, Australia turut mencatat kemenangan 9-0 ke atas Timor Leste.

Juara bertahan, Thailand nyata sukar ditandingi selepas mencatat kemenangan besar 16-1 ke atas Filipina manakala Myanmar mengalahkan Laos 9-0 bagi saingan kumpulan B. - BERNAMA

Berita Harian X