Ahad, 26 Julai 2015 | 12:57am

Aksi mengecewakan penerjun negara di Russia


Loh Zhiayi dan Chew Yiwei beraksi dalam acara 10m platform seirama campuran pada hari kedua Kejohanan Dunia FINA ke-16 yang berlangsung di Aquatics Palace di Kazan, Russia. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara menampilkan aksi mengecewakan pada hari kedua Kejohanan Dunia FINA ke-16 yang berlangsung di Aquatics Palace di Kazan, Russia.

Gandingan Chew Yiwei dan Loh Zhiayi hanya sekadar menamatkan cabaran di kedudukan ke-10 dalam kalangan 15 pasangan yang beraksi dalam acara 10m platform seirama campuran setelah mengumpul 289.89 mata selepas lima pusingan terjunan pada semalam, demikian menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.kazan2015.com.

Pasukan gergasi dunia dalam acara terjun, China membuat penampilan cemerlang selepas Sia Yajie dan Tai Xiaohu meraih pingat emas apabila mengumpul 350.88 mata, manakala gandingan dari Kanada, Meaghan Benfeito dan Vincent Riendeau Vincent memenangi pingat perak dengan kutipan 309.66 mata.

Domonic Bedggood dan Melissa Wu dari Australia terpaksa berpuas hati untuk meraih pingat gangsa selepas mengumpul 308.22 mata.

Satu lagi pasangan Malaysia, Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri akan beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita seirama pada lewat semalam. - BERNAMA

Berita Harian X