Ahad, 26 Julai 2015 | 5:30pm

Gandingan Yan Yee-Nur Dhabitah gagal menyerlah di Russia


Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri bersaing di dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun wanita negara, Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri gagal memberi saingan kepada jaguh dunia pada Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia.

Dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita yang berlangsung di Aquatic Palace semalam, mereka sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan dengan mengumpul 294.66 mata.

Terdahulu, gandingan ini berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 peserta terbaik dengan meraih kedudukan kesembilan untuk melangkah ke peringkat akhir.

Acara itu dimenangi juara Olimpik tiga kali, Wu Minxia yang bergandingan dengan Shi Tingmao dari China dengan kutipan 351.30 mata, diikuti Jennifer Abel-Pamela Ware dari Kanada dengan 319.47 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasangan penerjun Australia, Samantha Mills-Esther Qin dengan 304.20 mata.

Sementara itu, dalam acara 10m platform seirama campuran, satu acara baharu yang dipertandingkan dalam kejohanan itu, gandingan Chew Yiwei dan Loh Zhiayi menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 15 peserta.

Mereka yang baharu digandingkan, mengumpul 289.89 mata.

Acara itu dimenangi Si Yajie dan Tai Xiaohu dari China dengan 350.88 mata, diikuti Meaghan Benfeito-Vincent Riendeau dari Kanada serta Domonic Bedggood-Melissa Wu dari Australia, masing-masing dengan 309.66 dan 308.22 mata.

Pada hari ini akan berlangsung acara 10m platform seirama lelaki dan 1m papan anjal wanita.

Sandaran Malaysia dalam acara 10m platform seirama lelaki diletakkan di bahu gandingan yang meraih pingat emas pada Sukan SEA Singapura baru-baru ini, Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei, manakala dalam acara 1m papan anjal wanita, Malaysia tidak menghantar peserta. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X