Isnin, 27 Julai 2015 | 12:08am

CarBengkel mudahkan pencarian bengkel baiki kenderaan

PENGARAH urusan CarBengkel, Armin Baniaz bersama Naib presiden dan pemasaran PLT & TT, Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd, Cameron Wilson (kanan) menunjukkan aplikasi CarBengkel sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan (kiri) pada Majlis Penerangan media mengenai aplikasi CarBengkel di Menara PNB, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

PEMILIK kenderaan yang mengalami kerosakan, terbabit dalam kemalangan atau perlu diservis tetapi tidak mempunyai masa, kini tidak perlu lagi pergi sendiri ke pusat servis atau bengkel bagi membaiki pulih kenderaan mereka.

Sebaliknya, mereka hanya perlu menggunakan aplikasi mudah alih CarBengkel yang menghubungkan 1,000 bengkel seluruh negara kepada satu rangkaian dan platform untuk memudahkan pengguna mencari perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan kenderaan.

Aplikasi mudah alih itu dibangunkan oleh Car Smart Apps Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pembangun perisian Bumiputra yang juga penerima geran pembangunan Cradle CIP Catalyst.

PENGARAH Urusan Car Smart Apps Sdn Bhd, Armin Baniaz Pahamin menunjukkan aplikasi CarBengkel. - Foto Azhar Ramli

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Armin Baniaz, berkata CarBengkel boleh didapati dalam platform iOS dan juga Android yang mana pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini dari Playstore atau Apple Store dengan mudah.

Katanya, perkhidmatan itu beroperasi hampir sama seperti aplikasi memanggil teksi itu yang mana ia hanya mengenakan caj RM5 kepada bengkel dalam setiap urus niaga dan pengguna boleh memilih bengkel terdekat untuk mendapatkan perkhidmatan atau meminta mekanik untuk datang memeriksa kenderaan di lokasi. 

"CarBengkel adalah penyelesaian tepat dan terkini kepada pengguna kenderaan yang mahukan perkhidmatan mekanik bertauliah, boleh dipercayai, pada harga munasabah, pantas dan di mana jua lokasi mereka berada. 

"Kami merancang untuk menambah 1,800 bengkel dan pusat servis lagi ke dalam rangkaian sistem CarBengkel pada masa depan, sebelum merancang memperluaskan perkhidmatan kepada pengguna motosikal," katanya ketika ditemui BH Plus, baru-baru ini.

Katanya, bagi menjadikan aplikasi ini lebih mesra pengguna, ia dibangunkan dengan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

PENGARAH Urusan Car Smart Apps Sdn Bhd, Armin Baniaz Pahamin. - Foto Azhar Ramli

Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh mendaftar masuk maklumat kenderaan yang dimiliki termasuk perincian jenis kenderaan dan tahun ia dibeli bagi memudahkan bengkel yang terpilih memahami kerosakan dengan mudah dan mencari alat ganti yang diperlukan.

Bahkan, ia juga menggalakkan pengguna memuat naik maklumat insurans perlindungan kenderaan bagi memudahkan urusan tuntutan atau permohonan perkhidmatan ketika berdepan dengan kecemasan.

Bagi memudahkan pengguna memilih bengkel, CarBengkel juga menyediakan sebut harga dan anggaran kos perkhidmatan sebelum pengesahan dibuat serta tetapan GPS sebagai kemudahan untuk mekanik mencari lokasi pengguna.

Paling membanggakan, aplikasi yang pertama di dunia seumpamanya itu berjaya mendaftarkan sebanyak lebih 2,000 pengguna sejak ia dilancarkan pada Mac lalu.

PENGARAH urusan CarBengkel, Armin Baniaz menunjukan cara penggunaan aplikasi CarBengkel kepada kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan (kiri). - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Nazrin Hassan berkata, CarBengkel adalah satu daripada syarikat yang paling berjaya dalam senarai penerima gerannya.

Katanya, ia berdasarkan keupayaan dan latar belakang yang dimiliki syarikat itu dalam sektor automotif sehinggakan mereka mampu memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan peserta automotif.

"Pengenalan CarBengkel membuktikan kecemerlangan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dalam membangunkan produk pemangkin syarikat pemula tempatan dan menghasilkan aplikasi yang bakal mengubah landskap perniagaan tradisional di negara ini. 

"CarBengkel bukan hanya memodenkan operasi perniagaan bengkel kereta dan memudahkan pengguna, tetapi juga mendapat keyakinan jenama antarabangsa seperti Continental Tyre untuk bekerjasama dalam aplikasi terbabit," katanya.  

Berita Harian X