Isnin, 27 Julai 2015 | 6:24pm

Yiwei, Tze Liang duduki tempat ke-10 di Kazan


SKUAD terjun negara sekadar menamatkan cabaran di kedudukan ke-10 dari 12 pasangan dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia ke-16 di Aquatics Palace di Kazan, Russia. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara sekadar menamatkan cabaran di kedudukan ke-10 dari 12 pasangan dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia ke-16 di Aquatics Palace di Kazan, Russia.

Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang hanya mengumpul 386.52m selepas enam pusingan terjunan dalam acara itu pada Ahad, demikian menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.kazan2015.com.

Gergasi sukan terjun dunia, China meneruskan aksi cemerlang mereka apabila Chen Aisen dan Lin Yue meraih pingat emas selepas mengutip 495.72 mata, manakala pemenang pingat perak Sukan Olimpik London, Ivan Garcia Navarro dan German Sanchez Sanchez dari Mexico menduduki tempat kedua dengan 448.89 mata.

Roman Izmailov dan Victor Minibaev dari Rusia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengumpul 441.33 mata.

Pada Isnin, pasangan penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee akan beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita. - Bernama

Berita Harian X