Selasa, 28 Julai 2015 | 11:50am

Pandelela, Mun Ye sekadar tempat ketujuh


PANDELELA Rinong Pamg (kiri) dan Leong Mun Yee ketika beraksi dalam saingan 10 meter platform seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Gandingan atlet terjun negara, Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 10 meter platform seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia, awal pagi tadi.

Kembali digandingkan semula, Pandelela dan Mun Yee bermula baik pada dua terjunan awal apabila kedudukan kelima keseluruhan dan melonjak di tempat ketiga selepas terjunan ketiga.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi mereka pada terjunan keempat selepas hanya mendapat 51.84 mata menyebabkan mereka jatuh ke tempat ketujuh daripada 12 peserta akhir, menurut laman web rasmi kejohanan, kazan2015.com.

Pada kejohanan yang berlangsung di Aquatic Palace itu, Pandelela -Mun Yee kembali melakukan persembahan yang baik pada terjunan terakhir dengan mendapat 77.76 mata, jumlah markah ketiga terbaik dalam saingan terjunan kelima itu.

Pasangan negara itu mengumpul 303.60 mata, 55.92 mata di belakang pemenang pingat emas, Chen Roulin-Liu Huixia dari China yang memperoleh 359.52 mata.

Dalam pada itu, Meaghan Benfeito-Roseline Filion (Kanada) dan Kim Un Hyang-Song Nam Hyang (Korea Utara) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan 339.99 dan 325.26 mata. - Bernama

Berita Harian X