Rabu, 29 Julai 2015 | 12:00pm

Negara terus kemarau pingat di kejohanan akuatik dunia

KUALA LUMPUR: Selepas lima hari acara terjun Kejohanan Akuatik Dunia FINA Ke-16 berlangsung di Kazan, Rusia, masih belum ada kelihatan sebarang kilauan pingat yang diperoleh oleh penerjun negara.

Pada acara akhir 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Aquatic Palace pada Selasa, gandingan Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 401.37 mata.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.kazan2015.com, acara terjun terus didominasi atlet dari China, Cao Yuan dan Qin Kai dengan 471.45 mata.

Pingat perak pula menjadi milik penerjun Russia, Evgenii Kuznetsov dan Ilia Zakharov dengan 459.18 mata, manakala gangsa menjadi milik gandingan Jack David Laugher dan Chris Mears dari Great Britain dengan 445.20 mata.

Sementara itu, penerjun wanita negara Pandelela Rinong Pamng dan Nur Dhabitah Sabri akan meneruskan cabaran negara dalam acara 10m platform wanita hari ini.

Kedua-dua mereka akan memulakan saingan pusingan kelayakan pada pukul 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia). - BERNAMA

Berita Harian X