Rabu, 29 Julai 2015 | 11:49pm

Pandelela mara pusingan akhir 10m platform kejohanan akuatik dunia


PANDELELA Rinong Pamg beraksi dalam acara 10m platform wanita yang berlangsung di Aquatic Palace, Kazan, Rusia. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara Pandelela Rinong Pamg mara ke pusingan akhir Kejohanan Akuatik Dunia FINA Ke-16 bagi acara 10m platform wanita yang berlangsung di Aquatic Palace, Kazan, Rusia.

Pada pusingan separuh akhir hari ini, Pandelela berada pada tempat kelapan daripada 18 penerjun dengan mengumpul 338.10 mata.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.kazan2015.com, acara terjun terus didominasi atlet dari China, Ren Qian dan Si Yajie, masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua dengan 423.15 mata dan 395.75 mata.

Sementara Kim Kuk Hyang dari Korea Utara menduduki tempat ketiga dengan 379.90 mata. Seorang lagi atlet negara, Nur Dhabitah Sabri berada pada kedudukan ke-14 dengan 316.40 mata.

Pusingan akhir acara tersebut akan berlangsung pada 7.30 petang, Khamis, waktu tempatan (12 tengah malam, Jumaat, waktu Malaysia). - BERNAMA

Berita Harian X