Khamis, 30 Julai 2015 | 3:26pm

Najib terima kunjungan hormat Naib PM China


NAJIB bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri China Yiu Yandong ketika menerima kunjungan hormat di Perdana Putra hari ini. Turut hadir Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting (kiri). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menerima kunjungan hormat daripada Naib Perdana Menteri China, Liu Yandong di pejabat beliau di sini ketika Malaysia dan China berusaha untuk mengeratkan lagi hubungan.

Mereka membincangkan pelbagai isu, termasuk perdagangan dua hala dan ekonomi serta kerjasama serantau dalam bidang pertahanan dan pelancongan.

Turut hadir, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, dan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang.

Liu berada di Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke-128 di Kuala Lumpur ketika Beijing giat membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Ketika ditemui selepas perjumpaan itu, Ong berkata pada pertemuan mereka, Najib menyuarakan harapan agar lebih banyak pelancong China berkunjung ke negara ini sejajar dengan langkah yang diambil kerajaan Malaysia untuk menggalakkan rakyat China melawat Malaysia selepas tragedi Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS).

Menurut Ong, Najib menegaskan tentang kesungguhan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan projek taman perindustrian berkembar - Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan di Pahang dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou di Guangxi, selatan China.

Katanya, Najib akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang semasa pemimpin China itu melakukan lawatan rasmi ke Malaysia November ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN, untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-China.

Ong berkata, China juga menyuarakan minatnya untuk mengambil bahagian dalam projek besar di Malaysia, termasuk projek Rel Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura dan pelaburan dalam bidang lain.

- BERNAMA

Berita Harian X