Khamis, 30 Julai 2015 | 3:30pm

Wanita potong bayi dipenjara 12 bulan kerana sembunyi kelahiran


MAHKAMAH Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Farihah Abd Aziz, selepas didapati bersalah menyembunyikan kelahiran bayi perempuan 6 Julai lalu.
- Foto BERNAMA

JITRA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan dengan cara memotongnya kepada lapan bahagian, awal bulan ini.

Majistret, Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farihah Abd Aziz, 31, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara memotong bayi berkenaan kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam lubang tandas.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu antara jam 1 hingga 3 petang dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kampung Manggol, Mukim Malau, Jitra, pada 6 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Kalthum Zakaria.

65 dibaca
Berita Harian X