Khamis, 30 Julai 2015 | 6:23pm

Masa depan Zulfahmi dalam saingan Moto3 diketahui esok


PENUNGGANG Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

KUALA LUMPUR: Andai menilai prestasi serta amaran Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali kepada penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, kariernya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) seakan sudah berakhir.

Begitupun, keputusan penting sama ada pelumba kelahiran Banting, Selangor itu akan terus menunggang atau digugurkan daripada pasukannya, Drive M7 SIC Racing Team dijangka akan diketahui, esok.

Menurut laporan media tempatan, pelumba berusia 24 tahun itu dijadualkan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan masa depannya bersama Razlan dan pengurus pasukan, Johan Stigefelt.

Zulfahmi, mengharungi kempen mengecewakan di Moto3 musim ini sehingga memaksa Razlan memberi amaran keras kepadanya dengan risiko akan disingkirkan seandainya gagal bangkit.

Selepas sembilan pusingan perlumbaan, Zulfahmi sekadar mengumpul dua mata, jauh daripada yang disasarkan di awal tahun.

Keputusan itu mencetus persoalan cukup besar selepas Razlan sendiri menegaskan penilaian menyeluruh akan dilakukan ke atasnya selepas saingan di Grand Prix Sachsenring, Jerman pada 12 Julai lalu.

Lebih memburukkan keadaan, dia sekadar menamatkan perlumbaan di Jerman di kedudukan kesembilan meskipun Razlan mengatakan dia perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan 15 terbaik untuk selamat.

Berdasarkan entri laman bergambar sosial Instagram pasukannya, SIC Racing Team, pasukan itu memaparkan gambar Zulfahmi dengan persoalan siapa yang bersedia untuk melihatnya beraksi di pusingan selepas ini di Amerika Syarikat.

"Siapa bersedia untuk melihat lelaki ini kembali beraksi di Indy," menurut entri terbabit.

Razlan sebelum ini berkata pihaknya bersedia untuk menggantikan Zulfahmi dengan pelumba luar seandainya gagal menepati sasaran yang diletakkan kepadanya.

11 dibaca
Berita Harian X