Jumaat, 31 Julai 2015 | 4:28pm

Habib Jewels Kuantan sasar raih RM400,000 sepanjang 3 hari jualan


PENGURUS, Yusof Chan (tengah) bersama kakitangannya menunjukkan set jualan ulang tahun pertama Habib Jewels di pusat membeli belah, East Coast Mall. - Foto Farizul HAfiz Awang

KUANTAN: Habib Jewels mengadakan jualan ulang tahun pertamanya di cawangan pusat beli belah East Coast Mall di sini, selama tiga hari mulai hari ini hingga Ahad ini.

Pelbagai tawaran dan diskaun termasuk kadar tukar beli untuk emas dan berlian yang tinggi disediakan kepada pelanggan selepas beroperasi sejak Julai tahun lalu.

Pengurusnya, Yusof Chan, berkata pihaknya mensasarkan perolehan jualan sehingga RM400,000 untuk tiga hari itu berdasarkan minat pelanggan di Pantai Timur yang gemar membeli emas berbanding berlian dan keadaan ekonomi semasa.

"Sepanjang tiga hari (31 Julai hingga 2 Ogos ini), kita memberi diskaun sehingga 70 peratus barang kemas berlian dan batu permata terpilih.

"Selain itu, diskaun RM8 hingga RM15 untuk koleks emas 916 dan 999 terpilih, hadiah percuma dengan pembelian barang kemas bernilai RM3,000 ke atas dalam satu resit.

"Pelanggan juga boleh mendapat jam tangan jenama ice watch bernilai RM699 dengan tukar beli barang kemas bernilai RM5,000 ke atas dan jualan balik barang kemas untuk tunai bernilai RM8,000 ke atas masing-masing dalam satu resit.

"Ini adalah penghargaan untuk semua pelanggan di Pantai Timur yang terus memberi sokongan kepada Habib Jewels. Sebenarnya sekarang adalah masa sesuai untuk membeli emas sebagai pelaburan jangka panjang," katanya ketika ditemui di sini.

Cawangan Habib Jewels pertama di Pantai Timur yang berkeluasan 93 meter persegi di tingkat bawah pusat beli belah di pusat beli belah East Coast Mall Kuantan itu memudahkan pelanggannya termasuk dari daerah lain di Pahang kerana tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

Yusof berkata, cawangan itu menawarkan koleksi sama di negeri lain termasuk barangan kemas Oro Italia 916 dan Aura serta Hearts on Fire bagi koleksi berliannya.

Selain itu,Yusof berkata, Habib Jewels mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus atau RM10 juta tahun ini di cawangan pertamanya di Pantai Timur.

Beliau berkata, nilai jualan selepas cawangan ke-32 di pusat beli belah itu mula beroperasi Julai tahun lalu ialah RM8 juta setahun dengan pelanggannya termasuk dari daerah lain di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

28 dibaca
Berita Harian X