Sabtu, 1 Ogos 2015 | 6:33pm

Penyanyi Rembau Most Wanted akhiri zaman bujang, pilih Izzati


WARIS menyarungkan cincin di jari Izzati selepas sah bergelar suami isteri. - Foto NSTP

SERI KEMBANGAN: Dengan sekali lafaz, penyanyi Hip Hop yang terkenal dengan lagu Rembau Most Wanted, Waris sah bergelar suami kepada Izzati Amirah Kamaruddin.

Waris atau nama sebenarnya Muzzammil Akias, 26 dan Izzati, 26, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Kamaruddin Md Sidek, di Surau Al- Wehdah, Taman Lestari Permai di sini, pada jam 5.42 petang tadi.

Pada majlis itu yang berlangsung secara sederhana itu, Waris menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 beserta wang hantaran berjumlah RM15,000.

Pengantin perempuan turut menerima sembilan dulang hantaran dan membalas sembilan kepada pihak lelaki.

Waris ketika ditemui, melafazkan rasa syukur apabila hari bahagianya itu berlangsung dengan sempurna dan mengharapkan semua pihak mendoakan yang terbaik untuk mahligai yang baru dibinanya itu.

Esok pasangan pengantin baru ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di kediaman pihak perempuan.

Berita Harian X