Sabtu, 1 Ogos 2015 | 7:25pm

Zulfahmi kekal bersama Drive M7 SIC sehingga penghujung musim: Razlan


PELUMBA Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Teka-teki kedudukan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bersama pasukan Drive M7 SIC Racing terjawab apabila dikekalkan sehingga penghujung saingan MotoGP musim ini.

Namun dia perlu memastikan diri berada dalam kelompok 15 pelumba terbaik dalam setiap perlumbaan yang berbaki sembilan pusingan lagi dan jika gagal, akan dikenakan penalti kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata pelumba itu perlu lebih spesifik dalam menetapkan sasarannya dalam kelompok 15 pelumba terbaik itu.

"Dia perlu perbaiki prestasinya bermula di Indianapolis minggu depan sehingga penghujung musim ini.

"Sekiranya dia gagal berada dalam kelompok 15 terbaik bagi setiap perlumbaan, Zulfahmi akan dikenakan penalti kewangan. Jadi, kini ia terpulang kepadanya," katanya kepada pemberita, di SIC, hari ini.

Razlan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira objektif SIC memberikan sekurang-kurangnya satu slot kepada pelumba tempatan untuk beraksi dalam Moto3.

"Kita mempunyai ramai pelapis tetapi saya tidak mahu mengganggu persediaan pelumba lain dalam aksi mereka seperti di Kejohanan Antarabangsa CEV Repsol dan Piala Bakat Asia Shell Advance.

"Sebenarnya Zulfahmi masih tidak memberikan penjelasan yang kukuh tentang hala tujunya dalam Moto3.

"Selepas saya berjumpa dengan dia pagi tadi, kami membuat keputusan tidak mengganggu konsentrasinya dalam perlumbaan seterusnya di Indianapolis," katanya.

Razlan turut menasihatkan Zulfahmi supaya menggunakan peluang yang ada untuk menyakinkan pasukan lain, sekiranya mahu mengikat kontrak dengan pasukan lain, bagi menyelamatkan kariernya dalam sukan permotoran.

"Dia perlu memikirkan kariernya. Baki sembilan perlumbaan ini seharusnya Zulfahmi tunjukkan peningkatan supaya dapat menarik minat pasukan lain mengambilnya beraksi bagi musim depan," katanya.

Sementara itu, Zulfahmi ketika ditemui berkata dia berterima kasih kepada pasukannya kerana masih memberikan kepercayaan dan peluang menghabiskan perlumbaan Moto3 musim ini.

"Saya akur semua bergantung kepada saya selepas ini, selalunya pada pertengahan musim prestasi saya bertambah baik, Jadi saya akan berusaha lebih keras untuk memperbaiki kedudukan dalam setiap perlumbaan.

"Saya perlu meningkatkan lagi semangat juang ketika berlumba. Saya masih berharap dapat beraksi dalam perlumbaan MotoGP Dunia tahun depan," kata Zulfahmi.

Zulfahmi kini menduduki tangga ke-25 daripada 28 pelumba keseluruhan dalam kelas Moto3 dengan mengutip dua mata manakala rakan sepasukan, Jakub Kornfeil berada pada kedudukan ke-18 dengan 19 mata.

Sebelum ini, Razlan memberikan tempoh sehingga hari ini untuk Zulfahmi meyakinkannya mengapa kontraknya bersama pasukan itu perlu diteruskan, selepas prestasi pelumba tersebut kian merudum. - BERNAMA

Berita Harian X