Ahad, 2 Ogos 2015 | 12:04am

Mengembara menjejaki Hamka membawa ke Danau Maninjau


PEMANDANGAN indah Maninjau yang terletak di daerah (Kabupaten) Agam di Sumatera Barat. - Foto NSTP

RASANYA, tak mungkin ada hati yang tidak tersentuh saat melihat keindahan ciptaan Allah di Maninjau dalam daerah (Kabupaten) Agam di Sumatera Barat.

Mereka yang pernah sampai ke sini pasti tidak melupakan kemilau danau gunung berapi yang membiru atau boleh melupakan gemilang awan di langit yang indah.

Hamparan sawah hijau bertingkat-tingkat dengan dipagari bukit bukau, lembah dan lurah, barisan rumah kecil serta kubah masjid nyata menjadi panorama alam yang indah.

Jika kebanyakan pelancong hanya menyaksikan pemandangan indah dari kejauhan iaitu di hentian pelancong yang dikenali sebagai Panorama Sungai Landia tetapi kami dari kalangan ahli Kembara Menjejak Buya Hamka (KMBH) melepasi sensasi Kelok 44 (Ampek Puluah Ampek), iaitu menyusuri kelok tajam dan lereng sempit untuk sampai ke Nagari Sungai Batang, kampung kelahiran ulama besar Ranah Minang, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka.

Kami dibawa mengembara untuk merasai sendiri denyut nadi serta kehidupan penduduk Maninjau dengan menjadi sebahagian daripada masyarakat Minang di kampung ini.

Tanah beradat


SESI beramah mesra bersama penduduk tempatan. - Foto NSTP

Benarlah tanah ini negeri beradat. Pesona Maninjau bukan pada keindahan alamnya bahkan adat istiadat, tradisi serta budaya. Kami tidak menyangka rombongan kecil ini diberi sambutan meriah oleh penduduk tempatan.

Kami disambut dengan paluan gendang oleh pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiyah (MTs) Sungai Batang. Mahaad Tahfiz ini memang gahnya, apatah lagi ia diasaskan oleh ayah Hamka, Syeikh Yusof Amrullah dan keluarga beliau sebagai landasan awal pendidikan agama di danau ini.

Kekayaan seni Minangkabau terbukti pada malam seterusnya. Kami dihidangkan dengan Tari Piring, Tarik Randai, silek (silat) Minangkabau, drama dan sketsa. Hati rasa diusik dengan kemesraan, rendah hati dan sopan santun amak, uni dan uda. Hiba rasanya apabila mereka berebut-rebut mengajak kami berteduh di teratak masing-masing.

Letusan Gunung Api Sitinjau


SUASANA tenang sawah bendang di Danau Maninjau. - Foto NSTP

Nagari Sungai Batang terletak betul-betul di tepi Danau Maninjau. Luasnya kira-kira 1,738 km persegi. Awal pagi di sini adalah sajian untuk mata dan inspirasi untuk jiwa. Sebaik membuka jendela, sawah bendang terbentang luas di hadapan mata. Maha Suci Allah yang menciptakan!

Menoleh ke belakang rumah, Danau Maninjau yang tenang sesekali berkocak dek warganya yang membersihkan diri dan menolak kolek untuk mencari rezeki.

Menurut orang tua, Danau Maninjau yang berkeluasan 95 km persegi ini dibentuk oleh letusan Gunung Api Sitinjau yang berada di tengah-tengah danau. Hampir 500 tahun dahulu ia meletus dan letusan inilah yang membentuk kawah gunung berapi dengan kedalaman 495 meter.

Gunung berapi ini masih lagi aktif. Sekali sekala, penduduk di sini akan terhidu juga aroma belerang yang dibawa angin dari danau.

Menurut Konsultan Pendidikan Nasional Indonesia, Drs. Irfan Saumi, aktiviti menternak ikan menimbulkan perasaan berbelah bahagi di kalangan warganya.

"Walaupun aktiviti ini perlu untuk pendapatan namun kita juga bimbang kesan ekologi yang dibawanya. Kerana itu pihak pemerintah mengambil segala langkah yang perlu untuk memantau aktiviti ini supaya ia tidak menjejaskan ekologi," katanya.

Warisan karya terulung


PENGUNJUNG mengambil gambar kenang-kenangan ketika melawat daerah Agam.

Bagi rombongan kami yang sedang mencerna karya Hamka, perhentian di Kutub Khanah Hamka memberikan perasaan yang sukar ditafsirkan. Di ruang yang agak usang, selain buku bercetak, masih terdapat buku tulisan tangan beliau. Kami tenggelam memikirkan kegigihan Hamka menulis untuk menyampaikan gagasan dan kebenaran.

Hamka menulis dalam pelbagai bidang, dari pendidikan tasawuf, falsafah, tafsir, akhlak, novel roman, beliau muncul sebagai tokoh pemikir dan ulama yang begitu disegani di Nusantara. Dengan bahasa yang sederhana dan mudah difahami beliau menyampaikan dakwah dengan cara yang sedikit berbeza.

Tidak mungkin kita akan melupakan mesej dakwahnya melalui novel Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van De Wijck atau Merantau ke Deli.

Pesantren Hamka


PENGUNJUNG mengambil peluang mengabil gambar bersama ketika berada di Maninjau, Sumatera Barat.

Bagi masyarakat Maninjau, ketokohan HaPEmka yang meninggal dunia pada 1981 masih belum berganti. Mereka berusaha untuk melahirkan 'Hamka' kecil ini melalui pendidikan agama.

Pesantren Hamka ditubuhkan pada 1989, terletak di Kubu Gadang, kira-kira 1.5 kilometer dari danau Maninjau. Tanpa akses kenderaan, hanya `mobil perang' saja yang memungkinkan kita untuk sampai ke sini.

Mendaki ke pesantren ini dengan jalan kecil dan curam seakan simbolik mengenai ketinggian ilmu pengetahuan dan kegigihan guru serta penuntut ilmu. Di sini, pelajarnya bukan hanya berasal dari Sumatera tetapi dari seluruh kepulauan Indonesia dan Malaysia.

Puncak Lawang dan empat pesanan


PEMANDANGAN di Puncak Lawang. - Foto NSTP

Kalau hendak melihat Danau Maninjau dalam panorama terbaik, Puncak Lawang adalah tempatnya iaitu di Kecamatan Matur, Kabupaten Agam.

Di puncak ini dengan ketinggian 1,200 meter dari aras laut, keseluruhan Danau Maninjau dapat dilihat dengan jelas.

Kembara Menjejak Hamka juga membawa kami Muzium Kelahiran Buya Hamka. Selepas mendaki jalan berbukit sepanjang 800 meter, kami disambut oleh Hanif Rasyid Khatib Rajo Endah, pengelola Muzium yang juga anak saudara Hamka.

Di muzium ini, terdapat puluh foto kenangan di dinding dan hampir di setiap sudut rumah. Koleksi majalah dan buku tersimpan rapi dalam almari kaca. Lebih membanggakan masih terdapat jubah graduasi ketika Hamka menerima anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sehingga kini daripada 6,000 pelancong yang mengunjungi Muzium ini setiap tahun, kebanyakan pengunjungnya dari Malaysia.

Menurut Hanif, setiap kali pengunjung datang, beliau akan mengulang empat pesanan Hamka yang sangat mengesankan bagi orang beriman.

Empat pesanan itu adalah, pertama, Orang yang pintar adalah orang yang merasa bodoh. Kedua, orang yang berhubungan dengan yang Maha Esa adalah orang yang mensucikan diri. Ketiga, orang yang bahagia adalah orang yang tahu kampung halamannya. Dan keempat, ketika rumahku diketuk oleh kemiskinan, aku buka jendela dan aku melompat keluar.

Sajian ikan rinuak


SUMBER makanan harian masyarakat Maninjau, sajian ikan rinuak. - Foto NSTP

Bagi pengunjung ke Danau Maninjau, rinuak adalah kenangan dan ole-ole yang tidak mungkin dilupakan. Sejenis ikan berukuran kecil seperti bilis ini tidak ada di mana-mana tempat di Indonesia kecuali di Danau Maninjau.

Bagi masyarakat Maninjau, rinuak adalah sumber makanan harian. Setiap pagi selepas subuh, penduduk di sini berkolek ke danau untuk menangkap ikan istimewa ini. Iadijadikan sajian yang diolah dalam pelbagai makanan dan masakan seperti digoreng biasa, goreng balado (berlada), dipepes (bakar) dalam daun kunyit atau dijadikan godok (cucur).

Rinuak biasanya dijual di pasar dengan harga agak mahal. Ini kerana ikan ini tidak boleh dibawa keluar dari Maninjau dalam tempoh yang lama .

Kalau ikan lain masih diberikan oksigen selepas ditangkap, rinuak akan mati sebaik saja ditangkap. Oleh itu, bagi mereka yang mahu menikmati rasa rinuak yang asli segar dari danau, perlu sampai ke Maninjau sendiri.

Berita Harian X