Ahad, 2 Ogos 2015 | 12:16am
KUANTAN 31 JULY 2015. Perunding Geologi, Abdul Halim Mohamad ketika menerangkan kepada media berkaitan isu perlombongan.

Perunding geologi tiada upaya bantu negara manfaat sumber mineral

[email protected]


KUANTAN: Pelbagai khazanah negara seperti logam berharga emas, perak, bijih besi, bauksit, uranium dan titanium dikaut pelabur asing tanpa kawalan pihak berkuasa.

Lebih merugikan negara, kekurangan pengetahuan penduduk setempat mengenai sumber mineral itu sehingga sanggup menjual tanah mereka menyebabkan pelabur memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Sebagai contoh, kebanyakan pelabur untuk aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini sebenarnya tidak berminat dengan bauksit tetapi mereka tahu bahawa kandungan mineral titanium di dalam bauksit yang mereka lombong lebih bernilai tinggi.

PERUNDING Geologi, Abdul Halim Mohamad menunjukkan kawasan perlombongan di Malaysia.

Berdasarkan rekod, Semenanjung Malaysia kaya dengan pelbagai jenis mineral yang boleh dijadikan sumber pendapatan penting negara jika diuruskan dengan betul. Namun, semua itu belum tercapai kerana peranan ahli geologi belum diiktiraf.

Mengulas perkara ini, Perunding Geologi, Abdul Halim Mohammad, berkata peranan pakar perunding geologi perlu diiktiraf bagi memastikan sumber mineral di negara ini tidak dieksploitasi pihak tertentu sehingga merugikan negara.

Katanya, ini kerana ketiadaan pengiktirafan ini menyebabkan ramai pakar geologi tidak dapat memainkan fungsi mereka dengan berkesan bagi membantu meningkatkan pendapatan negara daripada hasil bumi menerusi industri perlombongan yang tersusun.

KAWASAN melombong bauksit secara haram di sebelah Jalan Jabor Lama. - Foto Aswadi Alias

"Tanpa pengiktirafan, sudah pasti kerjaya sebagai ahli geologi tidak dapat berkembang dengan baik seperti bidang profesional lain. Banyak institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan kursus dalam bidang ini, tetapi jika tiada pengiktirafan, apa guna kita perkenalkan kursus seperti ini?

"Begitu juga dengan sektor perlombongan. Ia juga belum diiktiraf sebagai satu industri, sekali gus menyebabkan aktiviti perlombongan di negara ini secara umumnya tidak dilakukan secara sistematik," katanya kepada BH.

Beliau berkata, pengusaha lombong di negara ini sepatutnya mencontohi industri perlombongan di Australia yang menjalankan aktiviti mereka secara teratur dan mematuhi peraturan bagi mengekalkan alam sekitar.

PERUNDING Geologi, Abdul Halim Mohamad ketika menerangkan kepada media berkaitan isu perlombongan.

"Kita kena contohi industri perlombongan di sana (Australia). Mereka guna khidmat perunding geologi untuk mengenal pasti jenis barangan mineral di kawasan yang mereka hendak lombong.

"Kalau ini kita buat, sudah pasti kita tidak akan melakukan aktiviti yang kita sudah tahu nilainya tidak berbaloi untuk kita lombong.

"Begitu juga dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Geologi dan Mineral serta Pejabat Daerah dan Tanah. Mereka perlu tanda kawasan yang diketahui memiliki simpanan mineral bagi memastikan kawasan itu tidak diteroka untuk tujuan pembangunan," katanya.

Abdul Halim berkata, masalah yang berlaku sekarang ialah kebanyakan kawasan lombong yang baru diteroka berhampiran kawasan penempatan dan ia menyusahkan penduduk setempat.

Katanya, tanpa menggunakan pandangan pakar geologi tempatan, pelabur luar mengambil tanah di lombong mereka dan diproses bagi mendapatkan hasil logam berkualiti.

"Logam ini kemudian mereka jual kembali kepada kita. Ini amat menyedihkan kerana kita beli barang yang kita miliki, cuma kita tidak tahu nak proses sahaja," katanya.

Beliau berkata, Pelan Industri Negara 2006-2020 sepatutnya turut memuatkan perlombongan sebagai satu industri.

Katanya, keputusan kerajaan tidak memasukkan perlombongan sebagai industri menyebabkan banyak masalah membabitkan industri perlombongan tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Berita Harian X