Ahad, 2 Ogos 2015 | 7:18am

Kuasa veto Russia penghalang tegakkan keadilan MH17

Pada 29 Julai 2014, Russia menggunakan kuasa veto ke atas usul Malaysia bagi membentuk satu tribunal pengadilan antarabangsa bagi jenayah yang dilakukan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai tahun sama.

Dalam kejadian itu, 298 orang terbunuh dan dua pertiga penumpang adalah rakyat Belanda. Pesawat itu ditembak jatuh di kawasan Ukraine yang dikuasai pejuang pemisah pro-Russia. Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden ini.

Tindakan Russia mengecewakan banyak pihak khususnya Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine yang bekerjasama untuk membentuk tribunal ini. Dengan tindakan veto ini, ia menguatkan lagi hujah bahawa tentera Russia atau pejuang pemisah pro-Moscow menembak jatuh pesawat MH17.

Ketika pengundian, 15 negara anggota tetap dan tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi bagi menyokong, menolak atau berkecuali terhadap usul yang dibawa Malaysia ini. Semua negara anggota Majlis Keselamatan menyokong usul Malaysia kecuali China, Angola dan Venezuela yang berkecuali dan Russia yang melakukan veto menolak usul. Untuk sesuatu usul diluluskan, ia perlu disokong sembilan anggota, di samping lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, China dan Russia harus bertindak untuk tidak memveto atau menolak usul yang dibentangkan.

Tribunal antarabangsa

Sebenarnya tiada cara lain yang terbaik selain penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi menyiasat dan menghukum pihak yang melakukan jenayah insiden MH17. Undang-undang domestik tidak dapat digunakan buat masa ini. Undang-undang Ukraine, negara tempat kejadian itu berlaku, tidak dapat digunakan untuk pengadilan kerana Russia tidak akan mengiktiraf perundangan itu.

Belanda dan Malaysia juga tidak dapat menggunakan undang-undang domestik kerana undang-undang itu tidak boleh menghukum warga Russia atau Ukraine yang melakukan jenayah itu sekiranya tiada kerjasama daripada semua negara terbabit. Sebenarnya penubuhan tribunal pengadilan antarabangsa adalah jalan terbaik untuk mencapai keadilan tetapi telah dinafikan dengan veto Russia.

Oleh itu, negara yang terbabit dalam usul Majlis Keselamatan tadi seperti Malaysia, Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine perlu mencari sumber perundangan alternatif bagi menjamin keadilan ditegakkan di dalam kes ini. Russia pula di dalam alasan penolakannya menyatakan bahawa mereka merasakan usul dibawa Malaysia ini terlalu awal ke arah pembentukan satu tribunal antarabangsa. Moscow meminta supaya penyiasatan diteruskan dahulu bagi menjamin keadilan ditegakkan sebelum langkah penubuhan tribunal dilakukan.

Russia sebenarnya bercadang membentuk satu lagi usul atau resolusi Majlis Keselamatan yang akan membawa peranan lebih besar PBB bagi menyiasat insiden MH17 ini tanpa membabitkan banyak campur tangan politik khususnya AS dan Ukraine. Namun penubuhan tribunal antarabangsa tidak termasuk dalam agenda Russia itu.

Mengikut Duta Besar Russia ke PBB, Vitaly Churkin, Moscow bersedia bekerjasama dalam penyiasatan sepenuhnya secara bebas dan objektif untuk mengetahui sebab musabab penembakan jatuh pesawat MH17.

Cuba lindungi penjenayah

Tindakan Russia ini jelas tidak disenangi banyak pihak yang berasakan keadilan dinafikan. Menteri Luar Australia, Julie Bishop menuduh Russia cuba melindungi penjenayah yang menembak jatuh pesawat itu. Duta Besar AS ke PBB, Samantha Power juga menyatakan kegagalan usul dibentuk menyebabkan keluarga mangsa akan bertambah sedih dan kecewa kerana pihak yang bertanggungjawab gagal disiasat dan dibawa ke pengadilan.

Menteri Luar Belanda, Bert Koenders menganggap pengadilan yang ingin dibawa melalui usul kepada Majlis Keselamatan sebenarnya melangkaui keperluan dan pertimbangan politik. Kejadian ini memberi kesan kepada banyak pihak dan Majlis Keselamatan dilihat gagal untuk menegakkan keadilan itu.

Secara umumnya, keadilan tidak dapat ditegakkan sekiranya Russia tidak turut serta di dalam usaha mencapai keadilan ini. Dengan kegagalan usul dibawa Malaysia, maka agak pudar dan sukar keadilan dapat ditegakkan.

Langkah yang boleh dilakukan ialah perundingan terus dilakukan antara Malaysia, Australia, Belanda, dan Belgium dengan Russia dan Ukraine supaya satu kata sepakat boleh diperolehi dalam mencari keadilan di dalam kes ini. Ini tugas berat yang harus dipikul semua pihak, termasuk PBB yang boleh berperanan sebagai orang tengah.

Sebelum ini, pada 21 Julai 2014, Majlis Keselamatan PBB secara sebulat suara menerima resolusi bahawa pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan semua negara harus memberi kerjasama ke arah itu. Lembaga Keselamatan Belanda akan mengeluarkan satu laporan berkenaan MH17 pada Oktober ini.

Sementara itu, Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine terus melakukan penyiasatan ke atas insiden berkenaan. Yang pasti, semua pihak harus tidak putus asa sehingga keadilan dapat ditegakkan kepada mangsa tragedi MH17.

Berita Harian X