Ahad, 21 September 2014 | 7:40pm

Tiga aspek jadi fokus utama Bajet 2015 - Ahmad Husni


MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika berucap selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak, hari ini. - Foto Supian Ahmad

PASIR SALAK: Tiga aspek iaitu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kedudukan fiskal dan peningkatan kos sara hidup menjadi fokus utama dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji ketiga-tiga aspek tersebut supaya ia selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini yang mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Apabila membuat belanjawan, kita tidak boleh melakukannya secara 'adhoc'. Kami akan memastikan terdapat kesinambungan daripada sebelum ini, semasa dan akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Katanya, usaha untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mampan menjadi faktor utama supaya matlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tercapai.

"Selain itu, kita mahu memastikan kedudukan fiskal adalah kukuh dari segi pendapatan.

"Ia mesti mampan, dan ini bermakna LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Jabatan Kastam dan agensi lain adalah kukuh dan pendapatan bertambah untuk pembangunan negara," katanya.

Katanya, bajet pada kali ini juga memberi tumpuan untuk meningkatkan pendapatan rakyat yang kini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dengan melengkapi mereka dengan kemahiran tinggi.

Beliau berkata, nisbah gaji pekerja di negara ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar ialah 33 peratus dan negara perlu mencapai 40 peratus dan ke atas untuk menjadi negara maju yang disasarkan menjelang tahun 2020.

Ahmad Husni berkata, untuk memastikan Bajet 2015 memenuhi kehendak rakyat, beberapa pandangan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan individu dipertimbangkan.

"Kita akan mengkaji mana-mana cadangan atau pandangan yang boleh membawa manfaat untuk meningkatkan ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X