Ahad, 2 Ogos 2015 | 6:25pm

Zulfahmi sasar 'naik pangkat', JPMoto buka peluang


PELUMBA Moto3 Drive M7 SIC, Zulfahmi Khairuddin pada sidang media di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Sehari selepas disahkan kekal beraksi pada baki perlumbaan Moto3 musim ini, penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin tampil mengakui enggan lagi beraksi di perlumbaan kelas ketiga di Kejuaraan Dunia (MotoGP) itu, musim depan.

Zulfahmi yang diberi peluang kedua itu oleh pasukannya, Drive M7 SIC Racing Team sekalipun dilihat gagal memenuhi sasaran diletakkan berkata sasarannya musim depan ialah berlumba di kelas lebih tinggi iaitu Moto2.

"Sebenarnya hati saya pada tahun hadapan saya tidak mahu lagi beraksi di Moto3 jadi saya sedang mencari pilihan lain," kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali sebelum itu berkata pihaknya memutuskan mengekalkan Zulfahmi pada baki saingan musim ini namun dia perlu mencari pasukan lain jika mahu terus berlumba di MotoGP.

Sambil menyifatkan kenyataan Razlan sebagai cabaran buatnya, Zulfahmi mengakui nasibnya akan berubah seandainya dia berjaya memperbaiki prestasinya.

"Pada pendapat saya, semuanya akan berpusing balik kalau saya buat keputusan yang baik tahun ini.

"Saya berharap dapat berlumba tahun depan dan itu saya punya cita-cita dan saya harapkan yang terbaik daripada SIC dan berharap masih berlumba di MotoGP," kata Zulfahmi.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, pasukan Moto2 negara, JPMoto turut mengakui Zulfahmi antara pelumba yang berada dalam senarai pilihan mereka untuk berlumba bersama pasukan itu, musim depan.

Pengerusi JPM Motorsport, Chin Jit Pyng berkata tujuan JPMoto dibina adalah untuk mempromosi penunggang Malaysia dan pasukan Malaysia ke seluruh dunia dan pihaknya sudah pun menguji seorang penunggang tempatan untuk mengisi tempat itu musim depan.

"Kita memang mahukan pelumba Malaysia dan mahukan penunggang yang berpengalaman. Setakat ini memang ada satu pelumba yang ada potensi.

"Tapi macam mana prestasinya dalam Moto2 kita tidak tahu. Tapi jika kita ambil dia, kita perlu lakukan ujian sebelum musim bermula. Kita sudah cuba sekali di Sepanyol, dia boleh menunggang namun masa dicatatnya kurang sedikit," katanya ketika ditemui di SIC, hari ini.

Berita Harian X