Isnin, 3 Ogos 2015 | 7:31am

Sejarah jawatan Naib Presiden UMNO

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya dipanggil oleh Datuk Seri Najib Razak ke pejabatnya pada jam 12.30 tengah hari Selasa lalu, iaitu sejam sebelum pengumuman rombakan Kabinet. Ketika itu, Zahid berada di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan terpaksa bergegas ke Kompleks Perdana Menteri, dengan jarak cuma kira-kira satu kilometer. Setelah bersua muka, barulah Najib memberitahunya mengenai pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pelantikan Zahid sebagai orang nombor dua dalam kerajaan, sebenarnya mengekalkan tradisi dalam UMNO, iaitu apabila berlaku kekosongan jawatan TPM, atas alasan apa sekalipun, maka peluang terbuka luas untuk salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO mengisinya. Sejarah membuktikan hakikat ini. Zahid adalah Naib Presiden UMNO paling kanan ketika ini, berbanding Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dua Naib Presiden paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya untuk menyandang jawatan nombor dua, meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib Presiden nombor tiga, termasuk Dr Mahathir sendiri adalah mereka yang sentiasa bernasib baik.

Naib Presiden paling kanan yang dipilih Dr Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tan Sri Musa Hitam (kini Tun) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.

Pada Januari 1999 pula, Dr Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Badawi (kini Tun), juga nombor dua selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau pula memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ketika Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, beliau memilih Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya.

Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein Onn, juga Naib Presiden ketiga. Dr Mahathir, juga Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian Tun Razak. Pada hal ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar, diikuti Razaleigh.

Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1978, Dr Mahathir disahkan ke jawatan Timbalan Presiden UMNO. Jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan itu, ia sudah disandang oleh lapan pemimpin, iaitu Tun Razak, Tun Dr Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Tun Musa, Tun Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib, Muhyiddin dan kini Zahid. Namun, tidak semuanya berjaya mendaki jawatan nombor satu.

Berita Harian X