Selasa, 4 Ogos 2015 | 12:06am

Doping: 'Jerat' makanan tambahan atlet


APA juga alasannya, kesalahan membabitkan doping tetap akan dihalakan kepada atlet itu sendiri kerana mereka yang menentukan sebarang 'bahan' yang memasuki ke badan mereka.

Bukan untuk lari daripada tanggungjawab, orang nombor satu sukan di Malaysia yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail menyifatkan ia sebagai salah satu daripada tanggungjawab atlet itu sendiri yang memerlukan mereka lebih peka.

Shapawi berkata, MSN dan segala pihak yang terbabit sudah menjalankan segala usaha bagi membanteras kes doping terutama menjalankan pelbagai program pencegahan bagi memberi peringatan kepada atlet.

Begitupun, sekiranya seseorang atlet itu 'terperangkap', mereka perlu menilai diri mereka sendiri tanpa pantas menuding jari kepada pihak lain.


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail. - Foto Muhammad Sulaiman

Sebagai contoh, bekas pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menanggung sendiri tanggungjawab atas kegagalannya dalam ujian doping yang dikenakan terhadapnya.

Sekalipun jaguh badminton negara itu pernah seakan-akan ingin meletakkan kesalahan terhadap Institut Sukan Negara (ISN), tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan badan induk itu.

Malah Chong Wei sendiri akhirnya akur dengan hukuman penggantungan lapan perlawanan yang dikenakan terhadapnya.

"Ini (ujian doping) adalah satu langkah yang memberi satu peringatan kepada atlet bahawa mereka sentiasa diawasi yang mereka perlu berhati-hati dalam menggunakan bahan yang boleh menyebabkan mereka terjebak dalam penyalahgunaan bahan terlarang.

"Mereka perlu ambil berat. Perkembangan semasa ketika ini kita lihat terlalu banyak makanan tambahan dikeluarkan pelbagai pihak dan kita tidak pasti bagaimana ia disediakan.

"Kita difahamkan kes yang berlaku adalah ekoran daripada makanan tambahan yang didapati mengandungi bahan yang terlarang dalam senarai WADA.

"Kerana itu, atlet-atlet negara perlu peka kepada apa yang mereka ambil dan mereka wajib rujuk kepada doktor di ISN supaya tidak terjebak. Jika mereka terjebak, sukar untuk menyalahkan pihak lain.

"Apa yang masuk dalam badan mereka, ia adalah tanggungjawab mereka. Mereka memutuskan apa yang memasuki dalam badan mereka. Mereka harus berhati-hati dengan orang di sekeliling mereka juga."


ATLET negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sekalipun menyifatkan MSN tidak bertanggungjawab secara terus terhadap kes doping seperti yang ditugaskan kepada ISN, Shapawi berkata pihaknya turut bersama-sama ISN dalam memberi maklumat dan pendedahan kepada atlet serta warga sukan di Malaysia mengenai kesalahan penggunaan doping.

Katanya, MSN memang bersama-sama ISN untuk mengesan kemungkinan ada atlet kita yang gunakan bahan terlarang malah turut bersama-sama ISN menjalankan ujian rambang.

Shapawi berkata, Malaysia bekerjasama baik dan mendokong penuh Agensi Anti Dadah Dunia (WADA) bagi program pencegahan dan sebagainya.

"WADA sendiri punyai program pencegahan seperti apa yang sudah mereka lakukan dengan Lee Chong Wei dan sebagainya.

"Kita melakukan segala-galanya, taklimat, penerangan. roadshow dan banyak kita. Ia satu usaha kita menekankan penyalahgunaan dadah. Itu dalah tanggungjawab kita dalam beri penerangan, taklimat dan penjelasan sejelas-jelasnya kepada bersukan dan atlet negara."

Dalam pada itu, Shapawi menyifatkan keputusan untuk memisahkan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) yang ketika ini sebahagian daripada unit di ISN sebagai baik.

"Memang sepatutnya ADAMAS berdiri sendiri sekalipun ISN membantu ADAMAS untuk gerakan di peringkat awal. Mereka patut berdiri sendiri dan bebas menjalankan ujian-ujian yang difikirkan perlu," katanya.


Amirul Hamizan Ibrahim dihukum selama dua tahun akibat penggunaan dadah jenis Anabolic steroid pada 2005.

INFO

Beberapa kes doping membabitkan atlet utama kebangsaan

- Kejohanan Dunia, Scotland 2014: Datuk Lee Chong Wei (Badminton) - Dexamethasone
Hukuman: Gantung lapan bulan

- Sukan Asia Incheon, 2014: Tai Cheau Xuen (Wushu) - Sibutramine
Hukuman: Gantung empat bulan

- Sukan Komanwel New Delhi 2010: Mohd Amin Jamaluddin (Ragbi) - Kanabis.
Hukuman: Gantung enam bulan.

- Sukan Asia, Busan 2002: Mohd Firdaus Abdul Ghani, Mohd Hanif Azman, Mohd Aznan Raslan (Sepak takraw) - Morfin
Hukuman: Gantung dua tahun.

- 2005: Amirul Hamizan Ibrahim (Angkat berat) - Anabolic steroid
Hukuman: Gantung dua tahun.

Berita Harian X