Selasa, 4 Ogos 2015 | 7:32pm

Universiti Sunway tawar biasiswa kepada pembaca BH

UNIVERSITI Sunway dengan kerjasama BH menawarkan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi biasiswa kerjasama kedua-dua organisasi itu.

Pengarah Eksekutif Kanan, Kumpulan Pendidikan Sunway dan Universiti Sunway, Dr Elizabeth Lee, berkata Biasiswa Sunway-BH itu akan membiayai pengajian empat pelajar yang menduduki kedua-dua peperiksaan umum itu tahun lalu.

Beliau berkata, biasiswa yang bernilai RM500,000 setahun itu akan diberikan kepada pelajar cemerlang terutama yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sunway mengikuti program diploma atau ijazah.

"Kami memberi pilihan sebanyak 17 program untuk dipilih penerima biasiswa ini termasuk diploma (untuk lepasan SPM) dan ijazah (STPM).

"Pemohon mestilah calon yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi baik dalam aspek sahsiah dan datang daripada keluarga berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM50,000 setahun.

"Pembiayaan ini akan dikelolakan Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) dan proses senarai pendek pemohon yang berjaya akan dibuat jawatankuasa pemilihan bersama Sunway-BH dalam masa terdekat," katanya yang meminta calon yang berminat perlu membuat permohonan pada kadar segera.

BH rakan kerjasama

Antara program yang ditawarkan untuk biasiswa itu ialah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengajian Aktuari; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi Perubatan; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sistem Maklumat; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa dan Diploma Seni Kulinari.

Elizabeth berkata, biasiswa ini terbuka kepada semua pembaca BH selagi mereka menepati syarat yang ditetapkan, justeru diharap menerusi kerjasama dan laporan BH, Universiti Sunway dapat menarik lebih ramai pemohon, terutama pembaca setia BH.

Bagi mengetahui senarai lengkap program yang ditawarkan menerusi biasiswa ini dan syarat permohonan, calon boleh layari www.sunway.edu.my/ biasiswa-bh.

Mereka yang berminat boleh mengisi borang permohonan biasiswa ini dengan memuat turun di laman web berkenaan dan hantarkan ke alamat Biasiswa Sunway-BH, Kiosk Pendidikan BH, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Berita Harian X