Rabu, 5 Ogos 2015 | 1:01am

7 maut akibat penyakit seakan Pneumonia di New York


SEJUMLAH 64 mangsa masih dirawat untuk gejala seakan-akan Pneumonia di hospital sejak wabak itu bermula pada 10 Julai lalu di selatan kejiranan Bronx. - Foto Wikimedia Commons

NEW YORK: Kewujudan sejenis penyakit di New York mengorbankan tujuh orang dan menjangkiti 86 yang lain, ketika bandar raya itu bertindak membuat undang-undang baharu bagi mengekang penularan wabak pada masa depan.

Sejumlah 64 mangsa masih dirawat untuk gejala seakan-akan Pneumonia di hospital sejak wabak itu bermula pada 10 Julai lalu di selatan kejiranan Bronx.

Penyakit itu dikenali Legionnaires disebar dengan bakteria yang ditemui dalam menara penyejuk lima bangunan di kawasan itu.

Pihak berkuasa berkata mereka yang maut adalah pesakit berusia dan mempunyai penyakit lain sebelum itu.

Bagaimanapun, penyakit Legionnaires tidak berjangkit dan boleh dirawat dengan antibiotik.

"Doa kami kepada semua yang terjejas dan terutamanya keluarga mereka yang terkorban," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dalam sidang media pada Selasa.

Dewan bandar raya sudah mengenalpasti dan membasmi bakteria di lima menara penyejuk terbabit, ia menjadi tempat pembiakan bakteria Legionella.

Bekalan air, punca air, air mandian dan kolam New York adalah selamat dan tidak terjejas, kata pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X