Rabu, 5 Ogos 2015 | 2:37pm

Saham Hartalega naik selepas keputusan positif

KUALA LUMPUR: Saham Hartalega Holdings Bhd mencatatkan prestasi memberangsangkan selepas syarikat itu mengumumkan keputusan positif bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Jun, 2015.

Pada 12.18 tengah hari, saham Hartalega meningkat 2 sen kepada RM8.62 dengan 490,600 saham bertukar tangan dan adalah antara saham diniagakan paling cergas pagi ini.

Maybank IB Research, dalam satu nota mengulangi saranan 'pegang' bagi saham pengeluar sarung tangan itu dengan harga sasaran RM8.50.

"Hartalega mencatatkan keputusan suku pertama yang kukuh tetapi keputusan itu telah dijangkakan dan kami mengekalkan unjuran pendapatannya," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) juga mengekalkan saranan 'pegang' memandangkan hasil jualan suku pertama 2015 syarikat yang meningkat atas sokongan jualan tinggi (+15.4 peratus tahun ke tahun), susulan pengembangan kapasiti di kompleks pembuatan sarung tangan bersepadunya.

Firma penyelidikan itu mengulangi harga sasaran tinggi pada RM8.87 daripada RM8.45 sebelumnya.

Affin Hwang Capital, turut mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Hartalega dengan harga sasaran RM9.00 daripada harga sasaran sebelumnya pada RM8.72.

"Keputusan suku pertama 2015 Hartalega sejajar dengan jangkaan kami.

"Pendapatan meningkat 14 peratus, suku ke suku, dengan sumbangan tinggi daripada fasa pertama kompleks itu.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan momentum pendapatan berturutan lebih kukuh kerana lebih banyak kapasiti akan dapat dikeluarkan," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Kenanga Research mengulangi saranan "outperform" bagi Hartalega dengan harga sasaran RM9.50.

- BERNAMA

Berita Harian X