Isnin, 22 September 2014 | 8:26pm
PEMAIN futsal negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (kiri) dihalang pemain dari Australia, Wade Matthew Giovenali ketika menyerang gawang lawan pada Kejohanan Futsal AFF 2014 di Stadium Malawati, di Shah Alam hari ini. Pasukan negara tewas dengan jaringan 3-0. Kejohanan sembilan hari itu yang berakhir pada 27 Sept ini disertai oleh 10 negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah. - Foto BERNAMA

Malaysia gagal layak separuh akhir Futsal AFF

SHAH ALAM: Peluang Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tertutup selepas tewas kepada Australia 3-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Sebelum melengkapkan jadual perlawanan kumpulan esok, slot separuh akhir diputuskan dengan Indonesia dan Australia layak daripada Kumpulan A, manakala Vietnam dan Thailand daripada Kumpulan B.

Keempat-empat pasukan itu mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan ketiga kumpulan, pasukan negara kendalian Maizal Hairi Marzuki tersentak dengan jaringan pertama pasukan lawan oleh Nathan Edmun Niski pada minit keenam.

Kemudian kapten pasukan Australia, Gregory James Glovenali meledakkan gol kedua pada minit ke-18 dan Daniel Steven Fogarty meranapkan harapan negara dengan gol ketiga pada minit ke-37.

Malaysia akan bertemu Timor Leste bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, Indonesia mengukuhkan kedudukan tempat teratas selepas membelasah Brunei 15-1. - BERNAMA

Berita Harian X