Isnin, 22 September 2014 | 8:31pm

PETRONAS, Yayasan PERMATA komited hantar pelajar ke luar negara

Daripada Mahfar Ali

NEW YORK: PETRONAS dan Yayasan PERMATA komited meneruskan kerjasama menghantar pelajar PERMATA Pintar berusia seawal 16 tahun melanjutkan pengajian ke universiti luar negara.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di sini, Yayasan PERMATA akan menyediakan pelajar berpotensi untuk menerima tajaan PETRONAS dalam pelbagai bidang pengajian.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berada di sini bagi mengiringi lawatan kerja Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Dalam ucapannya, Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA dan Pengerusi Yayasan PERMATA, berkata keseluruhan pelajar yang terpilih adalah pelajar pintar kognitif.

Pelajar luar biasa itu dapat menyambung pengajian ke peringkat universiti pada usia yang masih muda, iaitu seawal 16 tahun.

Kerjasama PETRONAS dan Yayasan Permata bermula tahun lalu membabitkan penajaan 17 pelajar.

Tahun ini, 15 lagi pelajar akan melanjutkan pengajian di bawah tajaan PETRONAS. Pelajar itu menyambung pengajian dalam pelbagai bidang seperti perubatan, ekonomi, senibina, biologi, fizik dan kimia.

Mengenai perkembangan Program PERMATA Pintar, Rosmah berkata, 350 pelajar menamatkan pengajian dari Kolej PERMATA Pintar dan berjaya menyambung pengajian di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.

Hampir keseluruhan pelajar itu menerima tajaan dari PETRONAS, Khazanah Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia, Maybank, Axiata, Sime Darby, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA.

Rosmah berharap perkembangan dan prestasi pelajaran pelajar terbabit turut dipantau kerana walaupun mempunyai kebolehan kognitif luar biasa dan pintar, mereka masih muda.

"Pelajar ini masih memerlukan sokongan psikologikal, sekurang-kurangnya di tahun pertama dan kedua semasa mereka menuntut di universiti luar negara.

"Saya ingin melihat mereka kembali ke tanah air sebagai seorang pekerja, penyelidik atau individu yang mempunyai kemahiran pekerjaan abad ke-21 yang tinggi dan menjadi pemimpin dalam bidang yang diterajui," katanya.

Berita Harian X