Sabtu, 8 Ogos 2015 | 8:58am

Maduku Kalut Returns belum "kalut"?


DAFI mencabar dirinya untuk melakonkan watak lelaki lembut menerusi watak Amy Amiro dalam teater Maduku Kalut Returns. - Foto ihsan Mask Team

KUALA LUMPUR: Jika menonton sesebuah karya yang diulang pementasan, pastinya soal perbandingan tak akan terlepas diperkatakan. Lalu kalau mahu mengukur teater Maduku Kalut pertama yang dipentaskan pada 2013 dan Maduku Kalut Returns ketika ini, soal yang sama pasti wujud.

Secara peribadi pementasan kali pertama lebih menangkap perhatian. Malah sempat ditanya beberapa orang teman media dan industri yang menonton pementasan terbaharu malam tadi, pementasan dua tahun lalu juga yang dipilih.

Bukan sahaja daripada soal pementasan keseluruhan yang dibandingkan, deretan pelakon juga menjurus kepada perihal yang sama. Watak Selamat yang dilakonkan Izzue Islam dan lelaki lembut Amy Amiro di tangan Karl Shafek lebih menyerlah ketika pementasan terdahulu.

Hakikatnya secara peribadi, BH Online tidak menyangka Izzue mampu memberi roh kepada Selamat tanpa perlu terlalu mencuba. Selamat kali ini ditangani Remy Ishak yang bukan asing lagi di dalam dunia lakonan termasuk di pentas teater. Hakikatnya Remy terlalu biasa atau sangat "control macho".


LAKONAN Dafi dan Remy Ishak dalam teater Maduku Kalut Returns. - Foto ihsan Mask Team

Sisi humor yang ada di dalam diri Selamat versi Remy Ishak tidak menonjol. Bukan Remy tidak mampu mencuit hati dengan gaya lawak kerana sebelum ini dia pernah membawakan watak lelaki Bangladesh dengan cukup baik dan bersahaja dalam sebuah telefilem arahan Erma Fatima.

Namun Amy Amiro dipegang Dafi kali ini bukanlah tidak bagus langsung. Dafi yang pernah berlakon tiga pementasan teater muzikal sebelum ini di Istana Budaya sebenarnya berjaya mencuri perhatian dan pendek kata sudah menenggelamkan pelakon lain.

Cuma Dafi dilihat seperti terlalu berlakon atau buat buat berlakon. Tapi pujian harus diberi kepadanya kerana berani mencabar diri membawa karakter lelaki lembut.

Sempat menyapanya ketika sidang media berlangsung, Dafi mengakui tak mampu menyembunyikan rasa gementar kerana keluarga hadir menonton persembahan malam pertama.

"Saya cuba kawal gementar itu tapi darah gemuruh terus menyelubungi diri. Insya-Allah pementasan seterusnya saya akan buat yang terbaik lagi," kata Dafi.


TIKET menonton teater ini boleh dibeli menerusi www.airasiaredtix.com.

Selain itu beberapa faktor juga menyumbang kepada perbandingan ini termasuk pentas yang dipilih. Pementasan pertama dahulu dipentaskan di Lambang Sari yang kecil skalanya dan lebih intim kerana jarak penonton dengan pentas juga sangat dekat.

"Saya sendiri risau apabila berubah panggung ke Panggung Sari yang diketahui mempunyai skala besar. Tapi kami harus sahut cabaran dan kepercayaan yang diberi. Energi pelakon juga menuntut jadi lebih besar apabila ruang itu bertambah

"Mengenai Remy, beri masa kepadanya untuk membuktikan keupayaannya. Remy dan Izzue juga dua pemain dunia seni yang berbeza," kata Shawn Amer selaku penerbit teater dan pengarah Mask Team.

Sementara itu, Remy yang ditemui tidak menafikan apabila berlaku pertukaran pelakon nescaya hal perbandingan itu akan dibangkitkan.

"Soal membandingkan itu dan ini dalam sesebuah pementasan yang sama itu menjadi lumrah. Tapi jelas di sini, perbezaan panggung dari kecil ke besar juga secara jelas memerlukan tenaga luar biasa bagi pemain teater.

"Sebenarnya saya juga tak sihat sejak beberapa minggu lalu. Tapi saya tak boleh jadikan alasan kesihatan ini sebagai penyebab untuk saya tak menyerlah. Saya juga sebenarnya kurang latihan kerana masalah berbangkit selain perlu melunaskan beberapa perkara.


NAD Zainal turut menunjukkan lakonan yang baik dalam teater Maduku Kalut Returns. - Foto ihsan Mask Team

"Insya-Allah mulai hari ini dan esok, saya akan pamerkan prestasi yang baik hendaknya," kata Remy.

Secara keseluruhannya Maduku Kalut Returns arahan Muhammad Azhar Zainal ini masih dan patut ditonton kerana mampu menggeletek hati penonton. Barangkali masih terlalu pantas untuk menghukum pementasan pertama malam tadi sebagai kayu pengukur sama ada teater ini bagus mahupun tidak.

Mungkin juga pelakon masih belum "panas" di atas pentas berprestij itu. Harapnya petang dan malam ini termasuk malam esok, barisan pelakon akan mula naik semangat. Lakonan Nad Zainal dan Jihan Muse memang tak perlu disangkal lagi kerana kedua-duanya mempunyai asas teater yang baik.

Tak lupa watak polis Sarjan Manisah yang diserahkan kepada Sherry Alhadad pasti menggeletek hati. Setiap kali muncul di pentas, Sherry memang bijak menghidupkan karakternya. Buat yang ingin menonton teater ini di Panggung Sari, Istana Budaya mulai hari ini dan esok boleh layari www.airasiaredtix.com atau datang terus ke kaunter box office Istana Budaya.

Berita Harian X