Selasa, 11 Ogos 2015 | 2:57pm

Kutipan elektronik sepenuhnya di 5 plaza tol mulai 9 Sept

PETALING JAYA: Lima plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Pulau Pinang dan Kedah akan beroperasi menggunakan sistem elektronik sepenuhnya, bermula 9 September ini.

Plaza tol yang terbabit dalam kutipan tol elektronik itu ialah Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Jitra dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan) serta Plaza Tol Lunas dan Plaza Tol Kubang Semang (di Lebuhraya Butterworth-Kulim BKE).

Sehubungan itu, semua transaksi di lima plaza tol berkenaan tidak lagi menerima pembayaran dalam bentuk wang tunai, sebaliknya akan dikendalikan menggunakan kemudahan kad PLUSMiles, Touch n' Go atau SmartTAG saja.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohammad Fuad Khusairi, berkata pelaksanaan sistem itu bertujuan membantu melancarkan transaksi di plaza tol selain menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah.

Katanya bagi memudahkan pengguna, pihaknya giat mengadakan jualan kad PLUSMiles Touch 'n Go (dengan nilai tambah RM5) dengan harga promosi RM5 (kad percuma) di ke semua plaza tol terbabit mulai sekarang sehingga 31 Disember.

"Selain itu SmartTAG ditawarkan dengan harga istimewa RM96 berbanding harga biasa RM127.20 sehingga 30 September ini di kelima-lima plaza tol terbabit.

"Bagi pengguna di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Lunas dan Kubang Semang boleh menikmati penjimatan bayaran tol bermula 1 September hingga 31 Disember yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X