Rabu, 12 Ogos 2015 | 10:03am
DIDIE Alias bersama keluarga di hari perkahwinan anak sulungnya, Nur Dhaniyah bersama pasangan Mohd Razishahriman Sabari. - Foto ihsan http://beautifulnara.com/

Didie Alias sebak sejak berjauhan dengan anak perempuan

Didie Alias sewaktu penikahan anak sulungnya, Nur Dhaniyah 8 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Didie Alias mengakui sebak sehingga menitiskan air mata ketika membaca luahan hati yang dibuat oleh anak sulungnya, Nur Dhaniyah, 22, di laman sosial Instagram baru-baru ini.

Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd Ali, 42, berkata, timbul perasaan sayu dan janggal kerana pertama kali beliau berjauhan dengan anak perempuannya yang baru melangsungkan perkahwinan pada 8 Ogos lalu.

"Tidak dinafikan berat hati saya untuk melepaskan anak sulung saya itu. Ini pun kakak (Dhaniyah) tidak berhenti menghantar mesej kepada saya, menitis juga air mata bila baca luahan dia kepada saya.

"Kakak memang cukup rapat dengan saya kerana dia tidak pernah tinggal di asrama dan sebagainya. Jadi permulaan ini agak sukar buat kami. Tidak sangka pula dia menangis malam semalam kerana rindukan saya sejak masing-masing tidak tinggal serumah lagi.

"Namun saya menjelaskan kepada kakak supaya jangan bersedih. Lagipun jarak rumah kami tidaklah jauh, dia boleh datang ke rumah sekiranya memerlukan apa-apa," katanya kepada BH Online.

Didie dikurniakan lima anak hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon Ridzuan Hashim. Mereka adalah Nur Dhaniyah, Muhammad Daniel, Nur Dania, dan Nur Diyana dan Nur Dayini.

ANAK sulung Didie Alias, Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan (kanan) bersama pasangan Razishariman Sabari pada Majlis Perkahwinanya di Dewan N'dah Mahligai Seksyen 14, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Dhaniyah sah bergelar isteri kepada Mohd Razishahriman Sabari, 29, seorang pereka grafik, dengan sekali lafaz dan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, aktor Ridzuan Hashim.

Aktres yang meraih populariti menerusi filem Kanta Serigala (1991) itu melahirkan rasa syukur dan gembira kerana detik penting majlis perkahwinan puteri sulungnya berjalan dengan sempurna.

"Syukur kepada Allah, semuanya selamat dan detik penting ini berjalan dengan sempurna. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya doakan Dhaniyah dan suami kekal sehingga akhir hayat dan melayari hidup berumahtangga dengan bahagia.

"Tidak dijangka kira-kira 2,000 orang tetamu sudi hadir memeriahkan majlis kahwin anak saya walaupun kad yang diedarkan hanya 500 keping. Alhamdulillah makanan dan tempat mencukupi untuk tetamu yang hadir," kata Didie dalam nada teruja.

Beliau turut berkongsi pengalaman pertama menguruskan majlis perkahwinan anak sulung itu melakar seribu satu makna buat dirinya.

Menurut Didie, segala penat lelah menguruskan majlis resepsi anaknya itu berbaloi dengan melihat sinar kegembiraan di wajah anak itu.

"Saya tidak sangka penat menguruskan hal kahwin anak sebegitu sekali. Sejurus selepas pulang ke hotel, saya terus terlelap kepenatan tanpa sempat menanggalkan solekan dan busana yang digayakan ketika majlis perkahwinan anak saya itu.

"Malah, saya juga diserang migraine sehingga muntah di atas katil kerana terlalu penat dan stress. Mungkin kerana saya terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk makan menyebabkan angin naik ke kepala dan menyebabkan migrain," kata Didie.

Berita Harian X