Khamis, 13 Ogos 2015 | 12:00am
KEBANYAKAN kediaman penduduk Myanmar di Nyaung Tone ditenggelami banjir berikutan siklon tropika Komen. - Foto AP
MANGSA banjir menggunakan botol air plastik terpakai sebagai pelampung ketika meredah banjir di perkampungan Kyaut Ye dekat bandar Hinthada, Myanmar. - Foto AFP

Monsun dan taufan cetus banjir terburuk di Asia Pasifik


SIKLON tropika Komen di kawasan sekitar Teluk Bengal. - Foto wikipedia.org

HUJAN lebat akibat monsun yang berterusan selepas serangan siklon tropika Komen minggu lalu mengakibatkan India, Bangladesh dan beberapa negara Asia Tenggara lain terutama Myanmar dilanda banjir teruk, menyebabkan beratus-ratus penduduk maut serta memaksa berjuta-juta yang lain berpindah.

Serangan siklon Komen di kawasan sekitar Teluk Bengal hujung bulan lalu, menyaksikan sekurang-kurangnya 493 orang maut. Sehingga kini, usaha mengira mangsa yang terkorban dan anggaran kerugian masih diteruskan.

Gabungan hujan lebat akibat monsun dan siklon tropika itu membawa lebih satu meter hujan di beberapa bahagian di Bangladesh, Myanmar serta menyebabkan banjir di Pakistan, India, Nepal dan Vietnam sejak dua minggu lalu.

Jumlah hujan ekstrim, diburukkan lagi dengan ribut Komen, menyumbang sekurang-kurangnya 199 kematian dan memusnahkan kira-kira 55,000 rumah di negara sekeliling Teluk Bengal.

Di Pakistan saja, banjir meragut 150 nyawa dan menjejaskan 800,000 penduduk di beberapa wilayah negara itu termasuk Khyber-Pakhtunkhwa, Punjab dan Kashmir.

Di Nepal, Kementerian Dalam Negeri melaporkan, sekurang-kurangnya 90 orang terkorban di seluruh negara sejak dua bulan lalu akibat banjir dan tanah runtuh dicetuskan hujan lebat monsun.

Selain korban nyawa, 117 rumah, empat jambatan, lima jambatan gantung dan sebuah sekolah musnah.

Menteri Dalam Negerinya, Bam Dev Duatam berkata, kebanyakan korban nyawa dan kerosakan harta benda berlaku di daerah Taplejung dan Kaski.

Bangladesh turut menerima hujan lebat berterusan akibat siklon tropika Komen. Laporan media tempatan mengatakan sekurang-kurangnya 28 maut akibat bencana itu dengan 500,000 penduduknya terpaksa berpindah.


TITIK pergerakan siklon tropika Komen selama enam jam di lokasi sekitar Teluk Bengal. - Foto wikipedia.org

Fenomena cuaca luar biasa itu berlaku berikutan pergerakan perlahan angin monsun dekat Bangladesh minggu terakhir Julai lalu dan membentuk ribut siklon di bahagian utara Teluk Bengal 29 Julai lalu.

Komen kemudian mencapai kelajuan ribut tropika 75 kilometer sejam dan menyerang kawasan darat mulai 30 Julai lalu.

Keadaan itu mewujudkan tekanan rendah berpusat di sempadan antara India dan Bangladesh sehingga semalam.

Ia menyebabkan India, Bangladesh serta beberapa negara Asia Tenggara seperti Myanmar menerima hujan amat lebat sekali gus banjir teruk.

Fenomena tekanan udara rendah itu menyebabkan banjir di Myanmar sekali gus kemusnahan teruk di beberapa negeri bahagian barat negara itu, menyaksikan lebih 88 orang terkorban dan menjejaskan lebih 330,000 penduduk.

Menurut Kementerian Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula, kebanyakan kematian dilaporkan di barat negeri Rakhine dengan sekurang-kurangnya 55 kematian.

Banjir maut itu turut mengorbankan 4,650 ternakan lembu, 85,400 penduduk dipindahkan selain memusnahkan 10,956 kediaman serta lebih 88,120 hektar tanah pertanian.


PENIAGA tetap meneruskan perniagaan walaupun kedai mereka di Nyaung Tone ditenggelami banjir. - Foto AP

Presiden Myanmar, Thein Sein mengisytiharkan darurat di empat kawasan negara itu memandangkan zon bencana dan banyak kawasan terpencil terputus akibat banjir, tanah runtuh atau jalan rosak, mengakibatkan beribu-ribu orang terabai tanpa bantuan.

Dalam perkembangan terbaru, banjir sudah mula bergerak ke selatan dan dijangka semakin meluas sehingga menjejaskan bahagian selatan negara itu.

Vietnam juga tidak terlepas daripada kesan bencana alam itu di mana banjir turut menyebabkan lebih 12,000 penduduk terputus bekalan elektrik selama berhari-hari dan hujan lebat menjejaskan bekalan kuasa kepada 27 bandar dan daerah.

Sejak 26 Julai lalu, kawasan Quang Ninh menyaksikan jumlah keseluruhan hujan sebanyak 1.5 meter, mencatat rekod hujan terbanyak di negara itu dalam tempoh 40 tahun.

Hanya beberapa hari selepas ribut tropika Komen, taufan terbesar dunia setakat ini melanda Taiwan Jumaat lalu dan ia melintasi kawasan selatan Kepulauan Ryuku, Jepun awal hari sama serta dijangka tiba di Fujian, China semalam.


TAUFAN Soudelor atau Hanna ketika mencapai kelajuan tertinggi pada 4 Ogos lalu. - Foto wikipedia.org

Seperti ribut tropika Komen, Taufan Soudelor atau Hanna itu dijangka membawa hujan lebat yang mengakibatkan banjir di Taiwan dan China. Pusat Taufan Bersama Amerika Syarikat (JWTC) di Honolulu mengeluarkan amaran, Hanna boleh bertiup sekuat 354 kilometer sejam manakala biro cuaca Filipina mengatakan mencatat 220 kilometer sejam.

Setakat Jumaat lalu, 611 orang dipindahkan dari kawasan pesisir Taiwan. Malangnya ribut itu sudah menelan mangsa, menyaksikan dua korban dan seorang lagi masih hilang di kawasan pesisir pantai Yilan, timur laut Taiwan.

Taufan itu dilabel sebagai taufan kategori tiga mengikut skala Risiko Ribut Tropika dan dijangka meningkat kepada taufan kategori empat dalam tempoh beberapa jam hari sama.

Biro Kaji Cuaca Pusat Taiwan berkata taufan itu mencatat kelajuan angin 172 kilometer sejam, menjadikannya ribut terkuat menyerang pulau itu sejak Taufan Usagi pada tahun 2013.

Untuk rekod, kawasan barat Pasifik dilanda 10 taufan tahun ini. Daripada jumlah itu, lima daripadanya taufan 'super'. Taufan 'super' adalah ribut yang mencapai kelajuan angin melebihi 241 kilometer sejam.

Ahad lalu, Soudelor mendarat sebagai ribut kategori dua menghentam Kepulauan Mariana Utara, menyebabkan kerosakan teruk di Saipan, wilayah di Kepulauan Pasifik yang ditadbir Amerika Syarikat.

Ia memusnahkan kabel elektrik, menanggalkan bumbung dan membanjiri stesen jana kuasa pulau berkenaan. Beratus-ratus penduduk Saipan mencari perlindungan sehingga tengah hari Isnin lalu.

INFO:

Taufan Soudelor/Hanna

  • Kelajuan angin antara 220 kilometer sejam hingga 354 kilometer sejam
  • Bawa hujan lebat ke Taiwan, China, Jepun

Taufan Komen

  • Punca banjir Myanmar, Bangladesh dan India
  • Hampir 500 maut, jutaan penduduk terpaksa berpindah
Berita Harian X