Khamis, 13 Ogos 2015 | 12:33pm

Mahkamah Persekutuan akan dengar rayuan MAIWP kes peguam bukan Islam

PUTRAJAYA: Rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati ia bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan seorang peguam bukan Islam untuk beramal sebagai peguam syarie, akan diputuskan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tarikh itu ditetapkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, selepas mendengar hujahan peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhasan mewakili MAIWP dan Datuk Cyrus Dass serta Ranjit Singh bagi pihak Victoria Jayaseele Martin.

Turut bersidang Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Jayaseele yang memperoleh Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak.

Mahkamah Tinggi pada 17 Mac 2013 menolak permohonan semakan kehakiman Jayaseele selepas memutuskan MAIWP boleh mengenakan syarat sebelum menerima masuk peguam syarie dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan

Berita Harian X