Jumaat, 14 Ogos 2015 | 12:03am

Hikmah Al-Quran: Malu, hina bila banyak dosa


MENJADI satu kewajipan sesiapa yang terpesong daripada jalan kebenaran bersegera menuju kembali kepada Tuhan.

FIRMAN Allah SWT: "Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin." (Surah as-Sajdah, ayat 12)

Rezeki orang berdosa

Allah SWT memberi pelbagai gambaran dalam al-Quran bagaimana reaksi orang yang berdosa ketika berhadapan dengan Allah SWT. Antaranya ialah mereka menundukkan kepala di hadapan Tuhan dalam keadaan malu dan hina sambil membuat rayuan.

Perkataan 'menundukkan kepala' ini juga disebut Allah ketika Nabi Ibrahim menghancurkan berhala serta menggantungkan kapak di atas berhala yang paling besar.

Firman Allah SWT: "Kemudian mereka menundukkan kepala lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?" (Surah Al-Anbiya, ayat 65)

Orang yang berdosa menundukkan kepala kesan daripada kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Orang yang angkuh dan sombong di dunia akan ditundukkan kepalanya di akhirat dan sesiapa yang bersifat tawaduk serta rendah diri di dunia akan diangkat kepalanya di akhirat kelak.

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata: (Wahai manusia, hendaklah kamu merendah diri kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya." (Riwayat Abu Nuaim)

Orang yang berdosa di akhirat kelak akan diperlakukan seperti mana tabiat dan kelakuan mereka di dunia. Mereka yang Allah SWT tundukkan kepala mereka di akhirat kesan daripada apa yang mereka pernah lakukan di dunia.

Tunduk muka sembunyi perbuatan buruk

Firman Allah SWT: "Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada." (Surah Hud, ayat 5)

Mereka menundukkan kepala mereka supaya mereka tidak memandang Rasulullah SAW kerana enggan mendengar sesuatu pun daripada Nabi. Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyampaikan sesuatu melainkan perkara yang membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan azab yang mereka akan terima di akhirat, sesuai dan serupa dengan apa yang mereka pernah lakukan di dunia umpama orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak menginfakkan ke jalan Allah.

Firman Allah SWT: "Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang yang me-nyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu." (Surah At-Taubah, ayat 34-35)

Tak hirau perasaan si fakir

Perhatikan ia seakan-akan gambaran yang dilakukan sebahagian manusia di dunia. Seseorang yang apabila didatangi seorang miskin dia memasamkan mukanya dan berpaling. Setelah itu, dia memberi si fakir itu wang seringgit dan berpaling sekali lagi tanpa menghiraukan perasaan si fakir itu.

Justeru, orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah sudah pasti akan menghindarkan dirinya daripada kesalahan seperti itu.

Ayat 12, surah as-Sajdah ini satu-satunya ayat yang mendahulukan penglihatan daripada pendengaran kerana bila tibanya kiamat dan kedahsyatannya, kita akan melihat huru-hara sebelum mendengar apa yang yang kita saksikan.

Gambaran orang berdosa

Apakah yang dilihat dan didengari oleh golongan berdosa ini? Jawapannya ialah mereka melihat Allah SWT yang tiada sekutu bagi-Nya dan tidak akan ada penolong serta tiada pemberi syafaat selain daripada Allah. Dan ketika itu, apa juga pengakuan mereka sudah tiada gunanya.

Hal ini juga berlaku seperti pengakuan Firaun sebelum dia ditenggelamkan seperti firman Allah SWT: "Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)." (Surah Yunus, ayat 90)

Lalu Allah SWT menjawab "Mengapa baru sekarang (kamu beriman), pada hal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk dalam orang yang membuat kerosakan." (Surah Yunus, ayat 91)

Kesimpulannya, apabila Al-Quran memberi gambaran dan suasana bagaimana orang berdosa bertemu Allah, kita terasa betapa sukarnya jika pertemuan itu tanpa iman dan tanpa amal soleh. Setiap kelakuan jahat yang dilakukan di dunia akan dibalas setimpal.

Berita Harian X