Jumaat, 14 Ogos 2015 | 12:12am
FADZILAH membantu anaknya Siti Nurmaisara yang menghidapi Cystic Fibrosis, memerlukan bantuan kewangan orang ramai. - Foto Rohanis Shukri

Suami lari tinggal tiga beranak deritai penyakit kronik


TIDAK pernah menyalahkan takdir, pada usia 11 tahun, anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak pernah merasa keseronokan bermain di padang permainan, malah setiap hari dia hanya memikirkan mengenai nasib dan kesihatannya.

Sejak berusia empat bulan, pembesaran Siti Nurmaisara Mohd Yusof, hanya tertumpu di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dilahirkan dengan pelbagai penyakit kronik termasuk masalah paru-paru berfungsi terhad sehingga membataskan penerokaan zaman kanak-kanak.

Pada usia setahun, dia sudah menjalani pembedahan jantung manakala si tubuh kecil ini juga terpaksa berhadapan dengan satu lagi pembedahan membuat lubang di bahagian perutnya kerana masalah penghadaman, pada awal tahun ini.

Lebih malang lagi, pada usia yang begitu muda Siti Nurmaisara tidak pernah mengenali erti kasih sayang daripada seorang bapa yang tanpa belas meninggalkan mereka sekeluarga kerana tidak mahu menanggung beban.

Cubaan demi cubaan menguji keluarga ini kerana bukan saja Siti Nurmaisara yang sakit, malah ibunya juga Fazilah Mohd Yusof, 45, kakak sulungnya, Nurul Nabilla, 19, juga menghidapi penyakit diabetes sejak tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, mujurlah setakat ini anak kedua, Nur Qamerina, 15, bebas daripada sebarang penyakit kronik. Namun, masa remajanya juga banyak dikorbankan untuk bersama-sama menjaga ahli keluarganya yang sakit.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, penyakit diabetes Fazilah mula kronik membuatkan pergerakannya terbatas dan hanya mampu terbaring lesu di katil bujang dikongsi bersama anak bongsunya itu.


FAZILAH yang terlantar akibat menghidap penyakit kanser usus, bersama anak bongsunya Siti Nurmaisara terpaksa menggunakan alat bantuan makanan di luar ususnya. - Foto Nik Hariff Hassan

Tidak putus asa

Berkongsi kisah perjalanan hidupnya, Fazilah berkata, dia tidak pernah putus berdoa supaya diberi kekuatan menghadapi dugaan itu, selain berharap semua mereka sembuh daripada penyakit yang dideritai.

Tabah mengharungi kehidupannya, katanya, sejak kelahiran Siti Nurmaisara, tiada lagi istilah berehat untuknya kerana anak bongsunya itu memerlukan penjagaan rapi setiap masa.

Katanya, pergerakan Siti Nurmaisara terbatas kerana saraf tangannya sudah mati, perlu dipimpin untuk bergerak disebabkan tubuhnya lemah dan keadaan paru-paru yang semakin kronik saban hari.

"Satu demi satu ujian diberikan kepada keluarga ini. Selain dua anak yang anak sakit, kesihatan saya juga kian terjejas dan tubuh mula hilang kecergasan akibat diabetes dan pengambilan ubat.

"Namun, saya pasrah dengan nasib menimpa keluarga kami, meskipun ada kalanya hilang kekuatan.

"Saya juga bersyukur kerana anak-anak masih bersama-sama walaupun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan mengharapkan bantuan bulanan daripada Baitulmal Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Kedah, Gombak, dekat sini, baru-baru ini.


NUR Nabilla bersama adiknya Nurqamerina, ibunya Fazilah yang terlantar akibat menghidap penyakit kanser usus, serta adik bongsu Siti Nurmaisara di kediamannya di Flat Sri Kedah, Taman Melati, Gombak. - Foto Nik Hariff Hassan

Suami tinggalkan keluarga

Fazilah berkata, perjalanan hidup dilalui dengan tabah, sabar dan terus mensyukuri nikmat Allah bagi meneruskan perjalanan itu dengan lebih optimis.

Dia pernah tinggal di hospital selama empat tahun menemani Siti Nurmaisara yang menjalani rawatan di HKL.

"Ketika itu, saya tiada pilihan dan terpaksa meninggalkan dua lagi anak perempuan di rumah anak yatim berdekatan. Sebelum ini, pernah hampir putus asa kerana bukan saja menerima berita mengenai masalah penyakit kronik anak, suami pula meninggalkan saya untuk menguruskan segala-galanya.

"Dalam sekelip mata saya hilang tempat bersandar dan hilang punca pendapatan keluarga. Tuhan memberikan ujian demi ujian sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

"Mujur ada pihak sudi membantu, memberikan nasihat dan semangat terhadap apa yang berlaku serta menerima suratan takdir daripada Ilahi," katanya.


SITI Nurmaisara menunjukkan kesan lubang untuk mengisi makanan menerusi saluran alat bantuan, tinggal bersama ibunya, Fazilah di kediaman mereka di Flat Sri Kedah, Taman Melati, Gombak. - Foto Nik Hariff Hassan

Mencatu kos belanja harian

Bercerita lanjut, Fazilah berkata, selepas Siti Nurmaisara menjalani pembedahan perut, mereka kerap berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau perlu berulang-alik lima kali seminggu, selain terpaksa mendokong Siti Nurmaisara turun tangga dari tingkat empat rumah mereka.

"Saya tidak boleh harapkan sesiapa lagi kecuali kekuatan diri sendiri. Kedua-dua kakaknya tidak kuat dan jika silap cara mendukung boleh terjatuh dan memburukkan lagi keadaan.

"Setiap kali Siti Nurmaisara sakit saya juga perlu bergegas mencari teksi ke hospital kerana tiada kenderaan sendiri.

"Jika anak bongsu diserang sesak nafas pada waktu pagi, saya hanya mampu meminta bantuan daripada Persatuan Ibu Tunggal untuk menghantarnya ke hospital," katanya sebak.

Selain itu, kesan pembedahan perut Siti Nurmaisara perlu dibersihkan setiap hari menggunakan peralatan dan kapas khas untuk memastikan ia bebas daripada jangkitan kuman.

"Bukannya saya malas bekerja. Keadaan tidak mengizinkan saya untuk keluar mencari rezeki meninggalkan semua anak-anak sendirian kerana perlukan tumpuan.

Justeru, katanya bantuan daripada Baitulmal Selangor dan JKM digunakan sebaiknya untuk menampung kehidupan mereka empat beranak.

Perbelanjaan sentiasa dicatu bagi memastikan mencukupi terutama bagi membiayai kos perubatan dan membeli susu khas untuk Siti Nurmaisara.

"Jadi, saya memang mengharapkan bantuan kewangan kerana perbelanjaan rawatan tinggi. Harga setiap satu tin susu sudah saja lebih RM100 dan itu belum termasuk keperluan mesin susu dan lain-lain kos penjagaan Siti Nurmaisara.

"Ketika ini, Baitulmal Selangor membekalkan empat tin sebulan, tapi jumlah itu tidak mencukupi kerana dia perlu minum setiap dua jam sekali," katanya.


BIARPUN diuji dengan pelbagai masalah penyakit, keluarga Fazilah tetap bersatu menempuh kehidupan. - Foto Rohanis Shukri

Berharap penyakit sembuh

Sebagai anak sulung, Nurul Nabilla mahu melihat adik dan ibu beliau bebas daripada dibelenggu penderitaan, lantas bertekad mahu mencari pekerjaan bagi menampung kos kehidupan mereka.

Bagaimanapun, halangan utama beliau untuk bekerja ialah kerap pengsan kerana kandungan gula dalam darah berkurangan akibat penyakit diabetes yang dideritai sejak berusia 15 tahun menjadikan diri kurang aktif.

Ketika ini, tugasnya hanya membantu ibu menguruskan perihal adik bongsunya dalam keadaan dirinya juga sakit .

"Sejak ayah pergi saya membantu ibu mengurus rumah, memasak, mengemas dan berulang-alik menghantar keperluan Siti Nurmaisara.

"Saya tanggung sendiri sakit yang dideritai. Saya tidak mahu ibu juga risau dengan keadaan kami adik-beradik," katanya.

Beliau berkata, kesan penyakit diabetes menjadikan berat badannya semakin meningkat melebihi 100 kilogram (kg) dan kerap diejek rakan sebaya.

"Saya tak tahan diejek rakan sebaya yang memanggil saya macam-macam. Saya bertekad mahu menguruskan berat badan dengan mengamalkan diet.

"Pemeriksaan doktor mendapati saya mengalami diabetes dan ketika berusia 15 tahun keadaan semakin teruk hingga saya terpaksa menggunakan insulin untuk mengawal gula.

"Akibat penggunaan dan pengambilan ubat, berat badan saya meningkat secara drastik mencecah 105 kg. Doktor meminta saya untuk kurangkan berat badan, tetapi tidak berhasil," katanya.


NUR Nabilla mengurut tangan ibunya Fazilah yang terlantar akibat menghidap penyakit kanser usus, bersama adik bongsu, Siti Nurmaisara menghidap jantung berlubang di kediaman mereka di Flat Sri Kedah, Taman Melati, Gombak. - Foto Nik Hariff Hassan

Pemeriksaan berkala

Kini, Nurul Nabilla perlu menjalani pemeriksaan berkala untuk memastikan kesihatannya terjaga menerusi pengambilan ubat ditetapkan oleh doktor.

"Hidup saya kini bergantung dengan ubat dan terpaksa menjaga makan supaya keseimbangan gula dapat dikawal. Saya juga tidak boleh menjalankan pekerjaan berat kerana cepat letih.

"Mujur, rawatan di hospital kerajaan tidak mahal dengan kadar bayaran RM5 saja. Jadi, dapatlah berjimat untuk kos perubatan adik-adik. Saya amat berharap penyakit diabetes ini sembuh sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X