Jumaat, 14 Ogos 2015 | 8:07am

Agama: Tuntutan rumah terbuka patut utamakan jiran terdekat

RUMAH terbuka dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama. - Foto hiasan
RUMAH terbuka dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama. - Foto hiasan

AMALAN rumah terbuka telah menjadi satu tradisi dan Syawal dirasakan tidak lengkap tanpa penganjuran rumah terbuka untuk meraikan keluarga, jiran serta sahabat handai. Berbekalkan matlamat mengeratkan silaturahim, rumah terbuka dilihat landasan terbaik menjalinkan hubungan persaudaraan.

Perkataan silaturahim, iaitu 'silah' atau 'wasal' bererti menyambungkan dan menghimpun manakala 'rahim' bererti kasih sayang dengan saudara serta kerabat yang masih ada hubungan darah (senasab). Ia membawa maksud sesuatu yang asalnya tidak bersambung kepada bersambung.

Rasulullah SAW bersabda: "Yang disebut bersilaturahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus." (Riwayat Bukhari)

Ukhuwah pula berasal daripada perkataan 'akhun' yang membawa erti saudara, teman atau sahabat. Dari segi istilah, menurut al-Quran ialah perasaan kasih sayang, tolong- menolong, bantu membantu, bertolak ansur, bermesra dan cinta mencintai sesama umat Islam tanpa terkecuali.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Kelebihan tradisi amalan rumah terbuka dapat merapatkan jurang pemisah dan mengekalkan tali persaudaraan sesama kita. Dalam keseronokan kita mengikut aliran semasa itu, ada perkara yang kita terlepas pandang.

Antaranya, dari segi jemputan kerana dengan kemudahan gajet yang canggih, sekali tekan sahaja kita boleh menyampaikan undangan kepada setiap jemputan. Malah, ada aplikasi yang membolehkan kita mengasingkan senarai keluarga, sahabat, kenalan serta saudara mara.

Namun, dalam kita ghairah menghantar mesej jemputan, jangan lupa bertanya adakah jiran berdekatan rumah sudah dijemput semuanya, terutama 40 rumah di sekeliling rumah kita dan bagi yang duduk di pangsapuri, tetangga di aras atas serta di bawah jangan dilupakan.

Jemputan utamakan jiran tetangga

Kehidupan yang sibuk dengan urusan kerja dan keluarga ada kala menyebabkan kita tidak berpeluang beramah mesra dengan jiran tetangga, tetapi jangan berat mulut menjemput mereka termasuk jiran bukan Islam.

Tuntutan menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Antara keseronokan menghadiri rumah terbuka adalah memakai pakaian cantik, indah dan bersih. Ringkasan kitab Al-Umm karya Imam Syafi'i, ada dinyatakan disunatkan umat Islam memilih pakaian yang terbaik serta indah mengikut kemampuan masing-masing, "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari raya, iaitu hari Jumaat, dua hari Aidiladha dan Aidilfitri dan tempat diadakan majlis (majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai pakaian yang bersih dan memakai wangi-wangian."

Malangnya, ada segelintir daripada tetamu khususnya wanita memakai pakaian tidak mengikut landasan yang telah digariskan syarak.

Rumah terbuka dijadikan tempat memperagakan pakaian, pemilihan warna agak terserlah, fesyen melampau sehingga menampakkan susuk tubuh ditambah pula aksesori berlebihan dengan tujuan mendapat tarikan dan pujian daripada yang lain.

Ada yang tidak memilih, semuanya dijemput, tetapi tempat pula diasingkan. Untuk tetamu khas diasingkan dengan tetamu biasa. Keadaan sedemikian boleh membuatkan tetamu biasa rasa tersinggung. Oleh itu, tuan rumah perlu memastikan semua jemputan mendapat layanan yang sama.

Begitu juga dengan usaha mengundang dan menghidang makanan untuk golongan fakir dan miskin. Sabda Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan (di majlis) kenduri yang hanya dijemput golongan kaya dan mengetepikan golongan fakir." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tak leka dalam keseronokan

Dalam keseronokan menghadiri rumah terbuka, perasaan teruja bertemu kerabat, saudara mara dan sahabat handai yang lama terpisah boleh menjadikan seseorang itu leka tanggungjawab terhadap anak sehinggakan anak tidak dipantau yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.

Begitu juga masalah kawasan meletakkan kenderaan terutama di kawasan yang jalannya kecil atau sempit. Meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya seperti di hadapan rumah jiran yang boleh mengganggu mereka keluar masuk, boleh menimbulkan kemarahan. Apatah lagi jika jiran itu tidak dijemput ke majlis berkenaan.

Menganjurkan rumah terbuka dengan niat mengeratkan silaturahim adalah amalan yang baik dengan syarat semua perkara diberi perhatian sepenuhnya khususnya yang berkaitan tuntutan syarak. Berusahalah memberi layanan terbaik kepada semua yang sudi meluangkan masa hadir ke majlis kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Hai hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar, ayat 10)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X