Selasa, 23 September 2014 | 4:50pm

Kelaskan pengusaha bas di bawah 'kadar sifar' - PMBOA


Presiden Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali. - Foto Fail NSTP/Micheal Sering

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) meminta kerajaan supaya meletakkan pengusaha bas di bawah status 'kadar sifar' dalam Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata ia bagi memudahkan pengusaha menuntut kembali GST yang dibayar, selain kos pembelian yang berkaitan.

"Ini termasuklah pembinaan badan bas, pembelian casis, tayar, bateri dan peralatan ganti bas dan perkhidmatan servis," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Mohamad Ashfar berkata, tuntutan berkenaan itu adalah satu daripada 17 cadangan dalam memorandum yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Kewangan pada 5 September lalu untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2015.

Sebelum ini, pengusaha bas dikelaskan di bawah status dikecualikan dengan pengusaha perlu membayar GST untuk segala pembelian dan tidak dapat menuntutnya kembali.

Keadaan ini, menurut persatuan itu mengakibatkan kos operasi pengusaha bas bertambah.

Cadangan lain termasuk permohonan supaya kerajaan menubuhkan dasar nasional untuk Pengangkutan Awam Darat Nasional, menaikkan kadar tambang bas sebanyak 30/40 peratus, melantik lebih ramai pemandu bas dan mengurang atau menghapuskan bayaran tol di lebuh raya.

Mohamad Ashfar berkata, kadar tambang sekarang perlu dinaikkan kerana pengusaha bas terpaksa berhadapan dengan peningkatan kos operasi.

Beliau berharap kerajaan akan memandang serius permohonan persatuan itu agar kos operasi pengusaha bas di seluruh negara dapat dikurangkan. - BERNAMA

Berita Harian X