Selasa, 23 September 2014 | 7:15pm

Sukan Asia: Satu pin pisah Zulmazran menang gangsa boling

ATLIT negara, Zulmazran Zulkifli beraksi acara perseorangan lelaki Gimnasium Anyang Hogye, Incheon, petang tadi. - Foto Rosli Rahmat
ATLIT negara, Zulmazran Zulkifli beraksi acara perseorangan lelaki Gimnasium Anyang Hogye, Incheon, petang tadi. - Foto Rosli Rahmat

INCHEON: Pemain boling negara, Zulmazran Zulkifli berundur dengan nota sedih apabila gagal meraih sebarang pingat dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Asia di sini, hari ini.

Lebih perit, pemain berusia 30 tahun itu hanya kekurangan satu jatuhan pin sahaja berbanding pemenang gangsa dalam saingan kali ini di Anyang Hogye Gymnasium apabila dia mengumpul jumlah, 1,298.

Pingat emas dimenangi pemain Thailand, Thailand, Yannaphon Larp Apharat dengan 1,319 dan perak menjadi hak Du Jianchao dari China (1,300) manakala gangsa milik Sitthiphol Kunaksorn dari Thailand (1,299).

Apa pun, ia harus memberi sedikit rasa gembira kerana pencapaian Zulmazran itu sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan ke-18 di Doha 2006 dan ke-48 di Guangzhou 2010.

Format baharu kejohanan itu menyaksikan tiada lagi pusingan 'step-ladder'' dan pemain dibahagikan kepada dua kumpulan sama ada blok pertama atau blok kedua yang ditentukan sebelum pertandingan.

Zulmazran, yang memenangi pingat perak bagi acara berpasukan pada Sukan Asia Guangzhou empat tahun lalu, berkata format baharu pertandingan kali ini ada baik dan buruknya.

"Bagi saya format baharu perlawanan ada baik dan buruknya. Jika saya berjaya mengutip mata tinggi pada sebelah pagi, mungkin ia mampu menjatuhkan keyakinan pemain lain, namun saya gagal meraih mata dengan lebih tinggi," katanya, hari ini.

Sementara itu, lima lagi pemain negara turut gagal melakukan balingan cemerlang dengan Rafiq Ismail di tangga ke-24 (1,212 pin), Adrian Ang tempat ke-25 (1,208), Syafiq Ridhwan ke-32 (1,195), Timmy Tan ke-42 (1,180) dan Alex Liew ke-50 (1,170).

Zulmazran berkata dia akan memberi tumpuan kepada aksi trio dan berpasukan selepas ini kerana Malaysia lebih kuat dalam kedua-dua acara itu jika dibandingkan dengan acara perseorangan.

"Kami mempunyai ramai pemain yang bagus bagi acara trio dan berpasukan dan saya lebih yakin dengan kedua acara tersebut," katanya.

Zulmazran pernah menyertai tiga edisi Sukan Asia iaitu pada 2002 di Busan, Korea Selatan, 2006 di Doha, Qatar dan 2010 di Guangzhou, China. - BERNAMA

Berita Harian X