Selasa, 18 Ogos 2015 | 12:11am

Palazzo kembali diminati ramai


DICETUSKAN pereka tersohor, Coco Chanel sekitar tahun 1930-an, kini kembali diminati ramai.

PENGGAYAAN seluar palazzo bukanlah baharu dalam fesyen harian wanita masa kini, namun sejak kebelakangan ini, seluar itu dilihat semakin mendapat pilihan ramai penggemar fesyen, baik dalam dan luar negara.

Potongan seluar itu yang longgar menggunakan fabrik selesa menjadikannya digemari ramai, terutama Muslimah yang mementingkan gaya pemakaian mengikut syarak.

Lazimnya, seluar palazzo dihasilkan daripada fabrik lembut seperti lycra, sifon, satin dan kain kapas, yang bukan saja mudah digayakan dengan pelbagai cara, malah memberikan keselesaan maksimum buat pemakai.

Boleh digayakan ke pejabat, majlis makan malam atau ketika bersantai, ia ditampilkan mengikut kebijaksanaan pemakai yang gemar mempelbagaikan penggunaannya dengan busana sesuai.

Mungkin ada yang tidak tahu, seluar berkaki lebar itu sebenarnya sudah melakar sejarah pemakaian cukup lama hinggakan ia menjadi persalinan amat digemari wanita Barat.

Mula dipakai tahun 1930-an


SELUAR palazzo lazimnya dihasilkan daripada fabrik lembut seperti lycra, sifon, satin dan kain kapas, yang bukan saja mudah digayakan dengan pelbagai cara, malah memberikan keselesaan maksimum buat pemakai.

Pemakaian palazzo mula dicetuskan pereka tersohor, Coco Chanel, sekitar tahun 1930-an apabila dirinya kelihatan tampil dengan rekaan seluar berkaki lebar ketika bercuti di Perancis.

Sememangnya terkenal dengan idea kreatif, rekaan seluar dipakai ikon fesyen itu mula mencuri tumpuan wanita, termasuk selebriti Hollywood dari 1930-an dan 1940-an, Katherine Hepburn dan Marlene Dietrich ketika dalam penggambaran filem.

Pada tahun berikutnya, seluar palazzo menjadi pilihan popular untuk pakaian resort dan mula mengalami perubahan apabila pemakaiannya menjadi pilihan alternatif menggantikan gaya skirt oleh wanita Barat pada tahun 1960-an

Populariti palazzo terus melakar sejarahnya dalam dunia fesyen sehingga 1970-an, tetapi kemudiannya, tenggelam ditelan pengaruh arus fesyen 1980-an. Pada era itu terkenal dengan himpunan fesyen seluar ketat. Bagaimanapun, palazzo kembali menggemparkan pementasan fesyen antarabangsa sekitar akhir 1990-an.

Pilihan jenama premium

Kini, penampilan seluar palazzo selesa dan bergaya didatangkan dalam pelbagai warna dan cetakan sempurna dipakai wanita tanpa mengira usia untuk berehat di sebuah resort atau untuk janji temu makan malam di kota.


ANTARA rekaan seluar palazzo.

Bagaimanapun, palazzo sering dikelirukan dengan gaya potongan seluar bellbottoms, walaupun realitinya kedua-dua gaya fesyen itu mempunyai kelainan rekaan amat ketara terutama pada bahagian pinggang dan kelebaran kaki.

Hari ini, seluar palazzo diketengahkan oleh hampir semua jenama fesyen premium, termasuk Gucci, Armani, Zara, Giovanni dan tidak kurangnya daripada koleksi jenama tempatan.

Menonjolkan keunikan pemakaian tersendiri, seluar ini dilihat paling menawan jika dipadankan wanita langsing dan tinggi. Namun, buat mereka yang bertubuh genit, anda masih boleh tampil menawan sekiranya bijak mengenakan teknik penggayaan tersendiri.

Bermain dengan kreativiti

Apa yang pasti, cetusan gaya fesyen palazzo hari ini bukan saja mengembalikan fenomena, tetapi ia tampil dengan sentuhan rekaan dan perincian lebih moden, bahkan lebih bergaya untuk dipadankan sebagai persalinan pelbagai fungsi.

Rekaannya yang fleksibel dengan potongan longgar menggunakan pelbagai fabrik moden pelbagai motif dan warna turut membolehkannya dipakai semua wanita tidak kira yang bertudung mahupun tidak.

Fesyen sememangnya satu perkara sungguh menyeronokkan apabila wanita mampu bermain dengan kreativiti sendiri menjadikan imej mereka lebih bergaya. 

Buat wanita yang gemarkan kelainan, pemilihan palazzo polos boleh digantikan dengan mainan motif yang pelbagai seperti cetakan haiwan, flora, abstrak dan banyak lagi bagi menambah kelainan pada gaya.

Imej berbeza

Motif cetakan haiwan dilihat sebagai pilihan kekal segar. Penampilan motif ini yang agak berani dapat membangkitkan lagi keyakinan diri dalam wanita, sekali gus lebih menonjol biarpun dalam gaya sederhana.

Buat wanita berjiwa bebas, seluar palazzo rekaan ini sangat elok dipadankan dengan blaus polos atau rona pastel untuk memberikan keseimbangan imej. Ia juga nampak lebih bergaya dipadankan dengan jaket kulit.

Sekiranya anda sukakan identiti berjiwa seni, pilihan seluar kembang bercorak abstrak juga nampak menarik untuk dicuba.  Himpunan rekaan rona segar ceria membuatkan imej harian kelihatan berbeza daripada biasa.

Padanan jaket rona senada menyempurnakan lagi gaya.

INFO: Panduan bergaya dengan palazzo

  • Jika anda bertubuh langsing, pemakaian seluar ini bersama baju tebal sememangnya cantik. Cuba padankan dengan kasut muncung tajam untuk tampil lebih anggun.
  • Jika anda memilih palazzo sarat dengan motif, cuba padankan dengan blaus kosong dan tidak terlalu longgar daripada saiz asal badan.
  • Sekiranya anda rendah, pemakaian seluar ini tampak elok bersama kasut bertumit atau tapak.
  • Pilihan potongan palazzo terlalu lebar membuatkan anda kelihatan bertambah rendah.
  • Sekiranya anda inginkan penampilan feminin, padankan seluar itu dengan baju fabrik renda putih.
  • Untuk keseimbangan gaya, padankan palazzo dengan jaket pendek atau blaus mengikut susuk tubuh.
  • Jika ingin tampil santai, tambahan aksesori seperti rantai dapat mengekalkan imej bergaya.
  • Padanan blazer atau kasut bertumit dapat meningkatkan lagi gaya profesional. 
  • Gunakan kreativiti anda dengan tambahan tali pinggang sebagai pelengkap gaya.
  • Buat anda yang berani bereksperimen, cuba padankan baju dan seluar sedondon, yang dapat memberikan ilusi gaya jumpsuit.

Berita Harian X