Selasa, 18 Ogos 2015 | 6:30pm
JURULATIH skuad kebangsaan, Dollah Salleh. - Foto Goh Thean Howe

Dollah senarai 6 muka baharu sertai latihan pusat Ahad ini

KUALA LUMPUR: Enam muka baharu termasuk penyerang Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim disenaraikan oleh Dollah Salleh bagi menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Ahad ini.

Lima lagi adalah Amirizdwan Taj Tajuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nor Farhan Muhammad dari Kelantan serta dua pemain Perak, Idris Ahmad dan Nurridzuan Abu Hassan.

Mereka adalah antara 22 nama yang dipilih oleh FAM bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A, menentang Bangladesh pada 29 Ogos ini.

Kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya itu juga dibuat sebagai medan persiapan buat Dollah menjelang aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UEA) yang dijadual pada 3 September ini

Ia diikuti pertemuan menentang Arab Saudi di Shah Alam pada 8 September.

Daripada 22 senarai pemain yang dikeluarkan hari ini, Dollah hanya mengekalkan 11 pemain daripada keseluruhan 23 pemain skuad kebangsaan yang beraksi pada dua perlawanan sulung Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste dan Palestin, Jun lalu.

Mereka adalah Afif Amiruddin, Joseph Kalang Tie, Ahmad Syamim Yahya, Ahmad Hazwan Bakri, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, S Kunanlan, Safiq Rahim, Amri Yahyah, Nasir Basharuddin dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Selain itu, lima pemain yang menyarung jersi skuad Pilihan Malaysia bertemu Liverpool pada aksi persahabatan, 25 Julai lalu turut dipanggil.

Mereka adalah Baddrol Bakhtiar, Norshahrul Idlan Talaha, Nazirul Naim Che Hashim, S Kumaahran dan penjaga gol, Zamir Selamat.

Sebagai tambahan daripada 22 pemain yang disenaraikan, empat pemain Pahang akan turut menyertai kem latihan namun hanya menyertai rakan sepasukannya lewat iaitu pada hari perlawanan menentang Bangladesh kerana beraksi dalam saingan Piala AFC.

Mereka adalah penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, Razman Roslan, Azammuddin Akil dan Matthew Davies.

Tiga pemain Johor Darul Ta'zim iaitu S Kunanlan, Safiq Rahim dan Amri Yahyah juga akan melapor diri lewat iaitu pada 26 Ogos, selepas aksi suku akhir pertama Piala AFC bertemu South China di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sehari sebelum itu.

Semua 19 pemain akan melapor diri di Hotel Hilton Petaling Jaya sebelum jam 6 petang Ahad ini.

Pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Jun lalu, Malaysia diikat 1-1 oleh Timor Leste sebelum dimalukan 6-0 oleh Palestin.

SENARAI PENUH 22 PEMAIN

PENJAGA GOL: Zamir Selamat, Khairul Fahmi Che Mat

PERTAHANAN: Afif Amiruddin, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, Nazirul Naim Che Hashim, S Kunanlan, Idris Ahmad, Amirizdwan Taj Tajuddin

PERANCANG: Baddrol Bakhtiar, Joseph Kalang Tie, Ahmad Syamim Yahya, Ahmad Hazwan Bakri, Safiq Rahim, Amri Yahyah, Nurridzuan Abu Hassan, Nasir Basharuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor

PENYERANG: Norshahrul Idlan Talaha, S Kumaahran, Syahrul Azwari Ibrahim, Nor Farhan Muhammad

Berita Harian X